Zlatan Tidak Berminat Untuk Kembali Bermain Di Eropah Secara Pinjaman Januari Nanti

Izuddin oleh Izuddin 1 minggu yang lalu

Penyerang Los Angeles Galaxy, Zlatan Ibrahimovic menolak spekulasi yang mengaitkan dirinya untuk kembali bermain di Eropah secara pinjaman pada Januari nanti.

Zlatan baru sahaja menamatkan musim pertamanya di Major League Soccer (MLS) selepas berpindah secara percuma awal pada awal tahun ini dari Manchester United. Secara keseluruhan, beliau berjaya menjaringkan 22 gol dari 27 perlawanan untuk Galaxy.

Tiada peluang untuk menyertai pasukan Setan Merah yang sedang terdesak mencari pengganti kepada Lukaku yang tumpul.

Pemain berusia 37 tahun itu masih mempunyai kontrak sehingga hujung tahun 2019, namun demikian beliau tidak berminat untuk mengikut jejak langkah pemain ternama MLS dahulu yang bermain di Eropah secara pinjaman ketika liga sedang berehat.

Antara pemain yang pernah berhijrah ke Eropah buat sementara ketika musim MLS sedang berehat adalah David Beckham (LA Galaxy-AC Milan, 2009;2010), Landon Donovan (LA Galaxy-Everton,2010;2012), Robbie Keane (LA Galaxy-Aston Villa, 2012), Jermain Defoe (Toronto FC - Tottenham, 2014).

"Jika Galaxy mempunyai saya, maka saya adalah pemain LA Galaxy. Saya tidak akan pergi ke Eropah secara pinjaman.. saya tidak perlukan ia." Ujar bekas pemain Sweden yang pernah bermian untuk Ajax, Juventus, Inter Milan, Barcelona, AC Milan, Paris Saint-Germain dan Manchester United suatu ketika dahulu.

Zlatan dicalonkan untuk memenangi anugerah MVP MLS musim ini

Kehadiran Zlatan dalam pasukan La Galaxy masih gagal untuk membantu pasukan tersebut layak ke pusingan play-off dalam saingan Piala MLS selepas tumpas 3-2 di tangan Houston Dynamo. Kekalahan tersebut menyebabkan Galaxy terpaksa melupakan niat untuk bermain di pusingan play-off musim ini.

"Bagi saya sebaik sahaja saya kembali nanti, saya mahu memastikan pasukan ini akan mampu bersaing untuk merebut Piala MLS. Saya bukan datang ke sini untuk bercuti. Saya berada di sini demi menyahut cabaran."

"Saya mahu menjadi yang terbaik di MLS - pasukan saya, bukan saya. Kerana saya adalah pemain terbaik di MLS."

"Dari segi jangka panjang, saya tidak tahu bagaimana pasukan ini akan kelihatan. Ia masih baru buat saya kerana saya baru berada di kelab ini selama 6 atau 7 bulan."

"Tetapi kelab ini tahu apa yang saya mahukan dan harapkan. Sekarang bergantung kepada mereka untuk mengetahui apa yang mereka mahukan."

"Tetapi kelab ini telah menunjukkan perkara positif dan melayan saya dengan baik setakat ini. Mereka sentiasa membantu saya dan keluarga walaupun apa jua permintaan saya."

Memandangkan kontraknya yang hanya tinggal setahun lagi, Zlatan turut ditanya mengenai masa depannya bersama La Galaxy dan adakah beliau bermina untuk terus kekal di MLS.

Zlatan bersedia untuk terus kekal di LA Galaxy sekiranya mereka mampu memenuhi kehendak Zlatan yang bernafsu tinggi.

"Kalau boleh saya mahu menyelesaikan isu ini secepat yang mungkin. Sekarang ini perbincangan sedang dijalankan. Semua pihak sedang berusaha dan kita akan lihat keputusannya tidak lama lagi."

"Ia bergantung terhadap berapa besar kelab ini mampu mendapatkan pinjaman daripada bank." Ujar Zlatan dalam nada yang sinis untuk mengakhiri temu ramah tersebut.




Paparkan Komen