Wenger Tidak Menyesal Berpindah Ke Emirates Walaupun Trofi Berkurang

Izuddin oleh Izuddin 2 bulan yang lalu

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata beliau tidak menyesal dengan keputusan Arsenal untuk berpindah ke Stadium Emirates walaupun perpindahan tersebut telah menjejaskan peluang mereka untuk memenangi trofi.

Wenger akan menguruskan Arsenal buat kali terakhir dengan kunjungan ke Huddersfield dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris terakhir musim ini bakal menjadi penamat kepada karier beliau selepas bersama Arsenal selama 22 tahun.

22 September 1996 merupakan detik pertama Arsene Wenger diperkenalkan kepada umum

Antara pencapaian terhebat pengurus berasal dari Perancis ini adalah terbinanya Stadium Emirates yang lebih moden dan mampu memuatkan 60,000 penyokong pada suatu masa. Arsenal berpindah dari Stadium Highbury ke Stadium Emirates pada tahun 2006 dan perpindahan tersebut menyaksikan kuasa beli Arsenal berkurang kerana hutang yang perlu dibayar.

Walaupun perpindahan tersebut menyebabkan peluang Wenger untuk merangkul lebih banyak trofi terjejas, beliau berkata ia merupakan pengorbanan yang beliau sanggup lakukan demi kebaikan Arsenal pada masa hadapan.

"Kami perlu melakukan perkara tersebut [pembinaan stadium baru]. Tiada kelab yang boleh menafikan hak peminat mereka untuk datang menyaksikan perlawanan. Pada masa itu, saya merasakan rancangan untuk membina stadium berkapasiti 60,000 mungkin agak keterlaluan tetapi akhirnya, ia membuahkan hasil."

Wenger tidak akan tukar trofi dengan stadium Emirates, dakwa ia merupakan pengorbanan yang perlu diambilnya demi kebaikan Arsenal

"Pembinaan stadium baru sukar untuk dilakukan kerana kelab lain biasanya mempunyai sumber kewangan daripada luar. Kami berdepan dua 'kecacatan'. Kami perlu membayar kembali hutang stadium dan terpaksa bersaing dengan kelab luar yang memiliki kewangan yang lebih kukuh."

"Saya percaya stadium Highbury memiliki aura yang luar biasa. Ia seperti katedral, seperti gereja. Anda dapat 'hidu' roh pemain yang pernah beraksi di situ. Jadi stadium itu lebih istimewa dan akan kekal menjadi istimewa bagi saya."

"Stadium Emirates pula seperti ketika anda membeli rumah baru. Ia memerlukan masa yang agak lama untuk menjadikan Emirates sebagai rumah kami. Emirates adalah stadium yang fantastik - tetapi terdapat elemen istimewa di Highbury yang anda tidak mampu cipta kembali walaupun selepas membina stadium baru."

"Sejujurnya, tempoh paling sukar buat saya bermula dari 2006 sehingga 2015 dimana saya perlu menjadi kuat dan memberikan yang terbaik sebagai pengurus Arsenal."

Kirklees Stadium bakal menjadi medan terakhir Wenger di Liga Perdana Inggeris. Dilaporkaan Huddersfield bercadang untuk memberikan penghormatan kepada Wenger

"Secara peribadi, saya telah memberikan yang terbaik dalam tempoh masa tersebut. Ia merupakan tempoh yang tidak popular buat kelab dan paling sukar buat saya."

"Saya menandatangani kontrak selama 5 tahun walaipun mengetahui saya memiliki sumber yang terhad untuk berbelanja ketika itu. Apabila anda berdepan cabaran tersebut, kualiti pemain yang anda miliki juga turut berkurang."




Paparkan Komen