Wenger Terkejut Terima Banyak Tawaran Untuk Menguruskan Pasukan Musim Hadapan

Izuddin oleh Izuddin 3 bulan yang lalu

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengulangi pendiriannya untuk meneruskan kerjaya sebagai pengurus bolasepak dan mendakwa menerima banyak tawaran dari pihak luar, melebihi dari jangkaan.

Pengurus berusia 68 tahun itu bakal meninggalkan Arsenal pada hujung musim ini selepas 22 tahun menguruskan kelab tersebut. Beliau berjaya memenangi 3 kejuaraan Liga Perdana Inggeris disamping memecahkan rekod dengan memenangi Piala FA sebanyak 7 kali.

Tua tua pon masih ramai yang minat

Ketika bercakap kepada wartawan menjelang pertemuan menentang Leicester pertengahan minggu ini, Wenger telah ditanya sama ada beliau telah dirisik untuk mengisi mana-mana kekosongan sebagai pengurus pasukan pada musim hadapan.

"Ya, ada yang dah bertanya. Lebih banyak dari apa yang saya jangkakan sebenarnya."

"Tetapi buat masa sekarang, saya masih lagi belum menganalisa atau mempertimbangkan mana-mana tawaran. Saya mahu menumpukan kerja saya di sini sehingga hari terakhir kontrak. Tetapi yang pasti adalah saya akan kekal aktif. Otak saya mahu saya bekerja dan berterusan aktif."

"Saya mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pengurusan. Saya masih lagi akan bekerja. Apa yang bakal saya lakukan selepas ini ? Saya sendiri belum mengetahuinya."

Wenger juga ditanya sama ada beliau berminat untuk menguruskan mana-mana pasukan Inggeris.

"Buat masa sekarang, agak sukar untuk saya berbuat demikian. Saya tidak dapat melihat diri saya berbuat demikian pada masa hadapan."

Dibawa masuk oleh David Dein pada tahun 1996

Wenger tiba di Arsenal pada tahun 1996 sebagai seorang pengurus yang kurang dikenali apabila beliau mengambil alih tempat Bruce Rioch pada awal musim 1996/1997.

Dan bekas pengurus Monaco itu sempat memberikan penghargaan kepada individu yang bertanggungjawab membawa beliau ke England iaitu bekas naib pengerusi Arsenal, David Dein.

"Saya mahu mengakhiri antara sidang media terakhir saya sebagai pengurus Arsenal dengan berterima kasih David Dein yang bertanggungjawab membawa saya ke sini."

"Beliau mempunyai visi yang istimewa buat kelab ini dan juga Liga Perdana Inggeris. Beliau memberikan peluang kepada seorang pengurus berbangsa asing ketika tiada siapa mengenali saya."

"Beliau berhak menerima ucapan terima kasih yang istimewa daripada saya kerana beliau adalah individu yang amat istimewa."

Menurut Sky Sports, pengurus Juventus Massimiliano Allegri dan bekas pengurus Barcelona Luis Enrique merupakan calon pilihan untuk mengambil alih tempat Wenger. Wenger juga sempat memberikan pendapatnya mengenai pelantikan pengurus yang baru.

"Lebih cepat lagi bagus. Peminat mahu harapan baru dan pengurus baru memerlukan persiapan yang cukup untuk menghadapi musim baru."

Siapa yang lebih layak ?

"Mengenai spekulasi yang mengaitkan Arsenal dengan Allegri atau Enrique, kesemua mereka merupakan calon yang kompeten dan nama yang besar."

"Saya akan menjadi seperti peminat Arsenal lain di luar sana. Saya akan menunggu sehingga pihak atasan membuat keputusan dan selepas itu, saya akan memberikan sokongan kepada pengurus baru tersebut untuk memberikan yang terbaik kepada pasukan."

"Saya tidak mahu mengumumkan secara umum siapa yang saya mahu menjadi pengurus Arsenal yang seterusnya. Adalah lebih baik jika saya bersikap neutral tetapi jika kelab mahu nasihat saya, saya akan memberikannya. Tetapi adalah lebih baik sekiranya saya tidak berbicara mengenai perkara ini secara umum."




Paparkan Komen