Vladimir Putin Jumpa Khabib, Anggap Kekecohan Yang Tercetus Berpunca Dari Provokasi Pasukan McGregor

Izuddin oleh Izuddin 2 bulan yang lalu

Presiden Russia, Vladimir Putin mempertahankan tindakan Khabib Nurmagomedov yang melompat keluar dari Octagon selepas menewaskan Conor McGregor, yang mana beliau mendakwa ia berlaku kerana provokasi berterusan dari pasukan McGregor.

Dalam UFC 229 yang berlangsung di Las Vegas hujung minggu lalu, Khabib berjaya mempertahankan tali pinggang UFC 'Lightweight' selepas menewaskan McGregor pada pusingan ke-4 menerusi 'rear-naked choke'.

Putin menyokong penuh tindakan Khabib walaupun ada pihak yang kurang bersetuju

Namun begitu, kekecohan tercetus selepas tamat pertarungan berikutan tindakan Khabib melompat keluar dari Octagon untuk bergaduh dengan rakan sparring McGregor, Dilion Danis. Danis didakwa mengeluarkan kata-kata cemuhan kepada Khabib sepanjang pertarungan sehingga menyebabkan Khabib hilang pertimbangan.

McGregor turut diserang dua individu yang dipercayai rakan Khabib di dalam Octagon ketika kejadian.

Nevada Athletic Commission (NSAC) masih lagi menyiasat kejadian tersebut dan masih lagi memegang duit kemenangan Khabib dari pertarungan tersebut.

Khabib bersalam dengan Menteri Sukan Russia, Pavel Kolobkov.

Walaupun ada pihak yang mengecam tindakan Khabib, Putin tampil untuk menyokong Khabib dan menganggap tindakan Khabib itu sebagai reaksi atas provokasi keterlaluan yang dilakukan pasukan McGregor.

"Saya berharap Nevada Athletic Commision akan membuat keputusan yang berpihak kepada Khabib." Ujar Putin dalam satu pertemuan ringkas bersama Khabib dan bapanya, Abdulmanap Nurmagomedov atau nama glamornya Pak Manap.

"Apa lagi yang kita boleh cakap mengenai kejadian itu. Kita semua faham ia berlaku kerana provokasi. Saya yakin ayah kamu [Khabib] juga faham perkara tersebut."

"Ia dilakukan untuk memprovokasi Khabib dengan niat untuk menjejaskan fokus beliau ketika pertarungan."

Selain provokasi yang dilakukan Dilion Danis ditepi gelanggang, McGregor juga cuba menaikkan api kemarahan pasukan Khabib dengan memanggil rakan baiknya, Zubaira Tukhugov yang berketurunan Chechen, sebagai pembelot kerana membantu Khabib yang berasal dari Dagestan.

Khabib menerima sambutan hero sebaik sahaja menjejakkan kaki di kampung halamannya, Dagelstan.

"Rakyat Chechen yang sebenar tidak akan sesekali membantu 'Dagestani' melancarkan serangan terhadap rakyat Chechen yang lain." Kenyataan McGregor yang dimuatnaik dalam media sosialnya.

"Rakyat Chechen yang sebenar juga tidak akan menerima arahan daripada 'Dagestani'. Ini merupakan satu pengkhianatan. Tiada yang lebih buruk daripada pembelot."

Namun begitu, Putin juga menggunakan pertemuan tersebut untuk membuat seruan kepada seluruh rakyat Russia supaya bersatu padu dan tidak terpengaruh dengan mana-mana hasut anasir luar.

"Saya percaya seluruh rakyat di negara ini merupakan satu keluarga yang besar."




Paparkan Komen