Valverde: Messi Dalam Keadaan Sempurna Untuk Hadapi Manchester United

Izuddin oleh Izuddin 6 bulan yang lalu

Pengurus Barcelona, Ernesto Valverde berkata Lionel Messi sudah cergas sepenuhnya dari kecederaan dan berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi Manchester United dalam perlawanan timbal balik peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah yang akan berlangsung di Nou Camp awal pagi esok.

Dalam perlawanan pertama di Old Trafford minggu lalu, Barcelona menepati ramalan selaku pilihan utama untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah musim ini apabila mudah menjinakkan Red Devils 1-0 di depan penyokong mereka sendiri.

Jaga-jaga Setan Merah, Messi dalam keadaan terbaik apabila turun bermain pagi nanti !

Dengan kelebihan 1 gol, ia bukanlah bekalan yang cukup selesa buat Barcelona untuk bermain sambil lewa awal pagi nanti. Ditambah pula dengan reputasi Manchester United musim ini yang sering mencipta kejutan apabila bermain di gelanggang lawan, seperti yang dipamerkan mereka ketika menyingkirkan Paris Saint-Germain tidak lama dahulu.

Bagi mengelakkan United mencipta satu lagi kejutan, ValverdeĀ  mengambil keputusan untuk merehatkan beberapa pemain utama ketika perlawanan La Liga hujung minggu lalu menentang Huesca, termasuk pemain terbaik mereka iaitu Messi.

Dalam perlawanan di Old Trafford minggu lalu, Messi mengalami pendarahan di bahagian hidungnya selepas disiku Chris Smalling. Siku Smalling juga menyebabkan Messi mengalami sedikit bengkak di bahagian mata dan ternyata ia menjejaskan sedikit persembahan Messi pada malam tersebut.

Selepas berehat hampir seminggu, Valverde mengesahkan Messi sudah kembali pulih dan berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi Setan Merah malam nanti.

Messi berdarah hidung dan bengkak mata kerana disiku Smalling.

Namun begitu, peminat Barcelona juga perlu berharap Messi mampu meleburkan kemarau jaringannya ketika bermain dalam peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah. Untuk rekod, kali terakhir Messi menjaringkan gol untuk Barcelona dalam peringkat suku akhir adalah pada tahun 2013.

Selepas itu, beliau gagal menjaringkan gol dalam 12 perlawanan suku akhir yang beliau bermain sehingga ke hari ini.

Apabila ditanya pihak media mengenai kemarau jaringan yang dihadapi Messi dalam peringkat suku akhir, Valverde menganggap ia bukan satu perkara yang besar dan percaya kemarau Messi akan berakhir tidak lama lagi.

"Itu bermakna Messi semakin hampir untuk kembali menjaringkan gol [di peringkat suku akhir]. Statistik hanya menunjukkan perkara lepas, ia tidak mampu menunjukkan perkara yang akan datang."

"Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan dan itu adalah insentif kepada mana-mana pemain."

"Messi sudah kembali pulih selepas kecederaan yang dialaminya minggu lalu. Beliau berada dalam keadaan sempurna untuk menghadapi perlawanan malam esok."

Berdarah lecer Messi akibat perbuatan tidak bertanggungjawab Smalling

Selain Messi, seorang lagi pemain yang tidak dimasukkan Valverde ketika menentang Huesca adalah Ousmane Dembele. Bekas pemain Dortmund ini dijangka menyertai Luis Suarez dan Messi di bahagian serangan Los Cules dalam usaha mencari gol seterusnya layak ke peringkat separuh akhir.

Jangan lupa temu janji kita awal pagi esok, tepat pukul 3.00 pagi waktu Malaysia. Saksikan pertembungan menarik ini di Astro atau mamak-mamak berhampiran.



Paparkan Komen