Ulasan Sharip Dolsson: Liverpool Membayar Harga Kerana Pernah Melukakan Llorente

Sharip Dolsson oleh Sharip Dolsson 2 bulan yang lalu

Liverpool turun sebagai pemegang lencana top fans England untuk Liga Juara Juara Eropah. Maka tak hairanlah seawal pukul 12 lagi dah terpacak ramai penyokong Liverpool. Ada 12 meja kesemuanya di kedai mamak.

Sambil mereka bergelak ketawa melihat aksi Lukaku di dalam skrin besar. Tamat perlawanan Inter Milan. Lalu terdengar luahan penyokong Chelsea menyatakan, "wei mana live game kita ni?"

Lalu tanpa segan silu penyokong Liverpool membalas, "takkan nak tunjuk game kau kot, hormat sikit juara Eropah."

Bermula aksi UCL di San Paolo, Kedua dua pasukan kelihatan amat garang dan gersang dengan aksi serang menyerang.

Di dalam padang kelihatan Mane dan Salah saling bertukar hantaran dalam keadaan terpaksa. Ye lah, nanti takut ada merajuk tak dapat pass. Bila Mane dapat pass, tak pula dia sempurnakan.

Separuh masa pertama tamat dengan jayanya. Lalu penyokong Liverpool tanpa kisah keadaan jerebu, berjemur di open air terus memuji dan memuji aksi pasukan mereka.

Optimis bahawa mereka akan menang kali ini. Selepas kenangan buruk musim lalu di mana, mereka kalah. Jangankan kata nak melawan, on target pun yilekk.

Itu kisah tahun lepas. Tahun ni hanya memerlukan 21 minit mereka cetak on target pertama tau.

Meja yang 12 nan penuh tadi tak henti henti berbincang tentang bola sepak dan juga sambil mengemaskini segala perisian di telefon. Ye la, peluang dapat Wi-Fi percuma.

Lalu bersambung babak kedua. Skrip sama ditunjukkan kedua dua pasukan. Serang menyerang, tusuk menusuk, bentes membentes. Tetap tiada gol.

Ancelotti lalu memasukkan bekas pemain Tottenham Hotspur, Fernando Llorente. Dengan arahan, inilah peluang kamu membalas dendam kepada pasukan kamu yang kalah dulu.

Lantas Llorente memejamkan matanya mengingatkan detik di mana rakannya Sissoko dipersalahkan pengadil atas tuduhan handball yang tak jelas. VAR pula tak membantu mereka ketika itu.

Jelas api kemarahan terpancar pada wajah Llorente. Sambil dia masuk dia bertekad itulah malam dia akan menhancurkan Liverpool. Perkara itu beliau sudah luahkan sebelum perlawanan.

Lalu Ancelotti menagih janjinya. Jangan pula berjanji seperti seorang menteri di Itali yang banyak formula, termasuk ada formula menurunkan harga minyak ke kadar €0.32 ataupun RM1.50.

Jangan pandang rendah kepada dendam seorang bernama Llorente. Beliau pernah menyingkirkan Manchester City dengan bontotnya. Inikan pula Liverpool.

Kesemua pemain Liverpool menelan liur mereka melihat kemasukan LLorente. Mereka tahu, itu akan menjadi detik ngeri mereka.

Lalu tiba 10 minit terakhir. Liverpool dihukum kerana Robertson didakwa menjatuhkan Jose Callejon. Lalu menjerit 7 daripada 12 meja yang tadi.

Rupa-rupanya bukan semua mereka penyokong Liverpool. Tetapi mereka adalah penyokong Napoli. Punyalah kecewa Rizal Firmino di kedai mamak yang baru memuat naik status menyatakan beliau berada di port besar Liverpool.

Jeritan daripada 7 meja menjadi 8 meja apabila Dries Mertens menjaringkan penalti itu.

Llorente kemudian mengutip 1 kad kuning, kerana rasa geramnya kepada Liverpool akhirnya terkeluar sendirinya.

Tidak cukup dengan 1 gol dihadiahkan kepada lawan. Van Dijk dengan sengaja memberikan bantuan gol kepada Llorente agar pemain itu berpuas hati melunaskan dendamnya.

Llorente tersenyum puas menewaskan rakan senegaranya, Adrian di gawang Liverpool.

Lalu tamat perlawanan, Napoli 2 Liverpool 0.

Kamu boleh mencari masalah dengan sesiapa sahaja termasuk Messi atau Ronaldo, tetapi bukan dengan LLorente.

Liverpool telah bermain dengan orang yang salah, walaupun mereka ada Mohamed Salah.

Rizal Firmino dan sekutunya cuba mencari alasan apa yang hendak digunakan. Namun Ancelotti telah memberikan mereka talian hayat.

Menurut Ancelotti: "Hari ini kamu kalah di Naples, bermakna kamu akan juara Eropah pada akhir musim nanti."

Tamat perlawanan, kelihatan semua orang bersurai. Dan jelas kedengaran suara, "Jom balik wei, esok ada kerja, lusa nak hadap game Eropah sebenar sebelah Jumaat pula, team kita berdua tu."

Penyokong Liverpool meneruskan kehidupan mereka seperti biasa dengan menunjukkan sisi ego mereka, dengan nanah di hati, sambil berkata:

"Lama dah tak kalah, ini rasanya kalah."

"Jerebu ni, elok duduk gua je akan."

"Kalah dengan Napoli, bermakna kita bakal juara la nanti."

Sambil mencari tips untuk berhadapan dengan jerebu pada hari ini. Mereka juga bergantung kepada Zarina Anjoulie untuk mengaburi perhatian dunia kepada kekalahan Liverpool.



Paparkan Komen