Ulasan Sharip Dolsson: Kisah Jungkook Tenggelamkan Daniel James Sekelip Mata

Sharip Dolsson oleh Sharip Dolsson 3 bulan yang lalu

Saya, Sharip Dolsson kembali dengan ulasan jujur tanpa bias. Kali ini kita bercerita tentang Manchester United sekali lagi.

Perlawanan ke-4: Southampton vs Manchester United

Southampton seringkali digelar Liverpool B oleh peminat bola sepak Inggeris. Ini kerana mereka membekalkan sumber manusia yang banyak ke Liverpool termasuk pertahanan terbaik dunia dan pertahanan terbaik Eropah.

Yang terbaik dunia itu adalah Dejan Lovren. Yang terbaik Eropah pula adalah Van Dijk.

Manchester United pula sedang membina pasukan berasaskan wonderkid dan pemain muda termasuk Harry Maguire, Daniel James, Wan Bissaka dan pemain remaja yang digelar Akhyar Rashid England, Jesse Lingard.

Saya melabuhkan badan untuk memerhatikan pasukan Manchester United. Skuad yang penyokongnya sentiasa nak orang lain guna rumus dia.

Misalnya, EPL, mereka tak mahu iktiraf Liverpool menang 18 EPL, tetapi bangga menyatakan mereka ada 20 EPL.

Bahkan mereka mengaitkan Daniel James diberikan jersi 21 itu bersebab, selepas pemain itu melakukan debut EPL cemerlang menentang Chelsea. Sama seperti ketika Sir Alex berikan jersi 20 kepada Robin Van Persie, membawa kejuaraan Liga ke-20 untuk Manchester United.

Jika rumus bola sepak lahir 92 itu digunakan bermakna, Akhyar Rashid England aka Lingardinho sudah lama memakai jersi no.14 itu bersebab. Bukan?

Jika penyokong Manchester City mengiktiraf bahawa bandar Manchester itu Biru, makan mereka terus membuka buku sejarah ada lebih 40 piala major mereka menangi. Dan mengejek City sebagai pasukan baru nak up, zaman duit arab masuk. Mereka berkata bola sepak itu bukan bermula pada tahun Arab ambil alih kelab kamu.

Taun lepas mereka tak mengiktiraf treble Manchester City Kerana tiada UCL. Hanya mereka ada treble picisan. Kan terang-terang kawan tu cakap treble Domestik. Tak ada orang nak mengaku tu treble Eropah. Lagilah mereka perlekehkan.

Tapi tu la, ulas lebih, dituduhnya saya macai Liverpool. Tidak tuan-tuan, saya cuma menceritakan citra penyokong bola sepak. Bukan saya sahaja, habis orang yang dia tak puas hati kononnya mengejek pasukannya digelar penyokong Liverpool, kecuali Zizi Kirana yang sentiasa bepersalinan Arsenal.

Manchester United kejar no.6

Kesebelasan utama mereka nampak terlalu Manchester United dengan adanya Ashley Young. Ya, Inilah Manchester United yang dirindui kita semua.

Di St Mary,  Manchester United bermula garang, seperti biasa. Konspirasi dengan kedai mamak seluruh negara agar penyokong Manchester United terus semangat memesan minuman bersulam makanan. Jika tak, mereka hanya oder air sahaja.

Kita faham. Sejak tahun lalu mereka sudah mulai hilang kuasa ke atas alat kawalan jauh di kedai mamak. Kalau dulu, mereka tak fikir pun nak datang awal ke kedai mamak sebab apabila mereka di kedai mamak, automatik orang lain kena ikut tengok Manchester United. Hebat bukan?

Daniel James membuka tirai jaringan untuk United. Kali ini pemain yang digelar Ryan Giggs baru, yang masih belum ada adik ipar itu, diberikan kebenaran meraikan gol.

Ole Gunnar Solskjaer yang dari pandang sisi persis Mr. Bean menggenggam tangannya dan menumbuk angin, meraikan gol tersebut.

Beliau tahu dengan 1 gol itu mereka dapat mengawal keadaan untuk seri ataupun kalah. Ya, misi mereka kali ini untuk berada di tangga ke-6.

Lalu Hakimi Bissaka memuat naik status di FB: "Tak sia-sia beli James di FPL, tak mintak banyak, menang 3 gol dengan clean sheet je."

Itulah permintaan beliau.

Alangkah terkejutnya beliau, reaksi pertama kepada kiriman itu di facebook berupa sedekah reaksi gelak daripada 5 rakannya. Paling sakit apabila Hairi Lampard antara yang terawal memberikan reaksi gelak.

Lalu kini beliau faham, kenapa Encik Jimi tidak suka orang bereaksi gelak di hantaran FB.

Hakimi Bissaka jelas tidak mengerti lagi pattern graf Manchester United. Yang beliau tahu, bila menang, Ole ada di stereng. Bila kalah, beliau akan petik, ni kalau zaman Alex Ferguson. Begitulah sifatnya. Mereka sahaja boleh berkata begitu, kerana mereka tetapkan peraturan. Jika penyokong kelab yang satu lagi tu. Terus kena tuduh History Channel.

Tamat separuh masa pertama, terus nama Daniel James trending di aplikasi Twitter. Hastag #SOUMUN di tangga ke-3 terus.

Mengalahkan populariti Zynakal. Bahkan cubaan Haqiem Rusli nak masuk Line jadi viral pun gagal.

Nombor 1 dan 2 milik Daniel James aka Dan James. Tanpa berlengah, Rashid Maguire terus meminta rakan-rakan semejanya fokus kepada permainan di layar besar. Jangan berPUBG, yang anti sosial. Masa tengok bola, kita tengok bola.

Rashid Maguire juga memberitahu, 2 atau 3 gol tak lari malam tu. Cuma tunggu separuh masa kedua.

Bersambung babak kedua. Ceritanya mulai berbeza. Manchester United mulai menunjukkan aksi tidak senonoh mereka dan beberapa ketika mulai panik diserang oleh Southampton.

Ketika di bilik persalinan, Solskjaer mungkin sudah memberitahu bahawa, cukuplah untuk hari ini. Dan korang pergi ke atas padang itu untuk berekreasi dan berliburan. Dan cuba berikan peluang kepada lawan menjaringkan 1 atau 2 gol untuk membolehkan United duduk di kedudukan keramat di tangga ke-6.

Lalu berkali kali mereka memaksa Southampton menjaringkan gol pada separuh masa kedua.

Persainga di antara Lindelof dan center back termahal dunia, Harry Maguire untuk memenuhi KPI Ole, rancak berlangsung. Dan ia dimenangi Lindelof yang memenangi lencana awesome Kerana sekali lagi berjaya membantu Manchester United bolos.

Selepas bolos itu, Manchester United memaksa Southampton mendapatkan gol kedua. Sampai satu ketika Southampton protes kepada paksaan itu dan pemain mereka mendapat kad merah.

Manchester United tahu, mereka perlu tewas kali ini untuk duduk di tangga ke-6. Ia tak berhasil juga. Southampton enggan menang dengan cara itu. Dan pada masa kecederaan pasukan Liverpool B itu mengurangkan seorang lagi pemain.

Ole Gunnar mulai panik kerana beliau sekali lagi bakal terlepas kedudukan tangga ke-6. Dan tamat perlawanan. Seri 1-1.

Hakimi Bissaka dan Rashid Maguire agak marah dengan keputusan itu. Namun mereka gagahkan hati dan sudah bersedia menentang troll troll di media sosial.

Mereka berdua sudah level legenda dalam perkara sebegitu kerana sudah menjadi internship mempertahankan kebodohan pasukan sejak era Moyes.

Sekelip mata, populariti Daniel James hilang di Twitter dan tewas di tangan budak Kpop. Saranghae Jungkook, saranghae sweet girl.

Manchester United Kali ini tidak melakukan sebarang permintaan penalti seperti sebelum ini kerana tahu itu akan membuatkan pemain mereka kena kutuk secara rasis.

Tamat aksi semalam Manchester United tersasar sedikit daripada tempat ke-6. Mereka ada cuti agak panjang untuk memikirkan strategi bagi duduk di situ.

Rumusannya, selepas melakukan pembersihan pemain yang dituduh biawak hidup seperti Sanchez dan Smalling, Manchester United berjaya memperbaiki prestasi mereka daripada kalah kepada seri.

Mereka kelihatan sudah  mendapat formula untuk mengekalkan prestasi. Mungkin selepas ini mereka akan melanjutkan lagi kontrak pemain seperti Mata Matic 10 tahun lagi.

Dan seperti biasa selepas tamat perlawanan, Hakimi Rasford terus tabah menunggu perlawanan pasukan lain dengan harapan pasukan lain seri dan tewas, kerana mereka nak bahan sekali.

Tetapi kalau team Kimi Bissaka seri, dia cakap, seri je pun, bukan kalah. Sebab apa?

Beliau pun bangkit dan balik ke rumah dengan termanggu termenung di atas motosikal. Sambil memaki Ashley Young.

Ya, mereka sentiasa mahu hidup dengan peraturan yang memihak dan membuatkan mereka kelihatan power sahaja. Dan hari ini Rashid Maguire cuma ada Arsenal sahaja harapan untuk mereka balas dendam.



Paparkan Komen