Tadic: Ajax Tidak Patut Tersingkir Dari Liga Juara-Juara Eropah

Izuddin oleh Izuddin 2 bulan yang lalu

Pemain Ajax Amsterdam, Dusan Tadic berkata tiada perkataan yang mampu menggambarkan perasaan sedih beliau ketika ini selepas Tottenham menjaringkan gol pada saat akhir perlawanan untuk layak ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Ajax tersingkir dari Liga Juara-Juara Eropah dalam keadaan penuh tragis dan dramatik selepas Lucas Moura menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-95, iaitu minit terakhir waktu kecederaan.

Moura pemusnah harapan Ajax

Ajax yang turun sebagai pilihan selepas mencatatkan kemenangan 1-0 di London minggu lalu, memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila kapten pasukan, Matthijs de Ligt menanduk masuk gol pertama perlawanan seawal minit ke-5.

Pada minit ke-35, giliran pemain antarabangsa Morocco Hakim Ziyech pula mencetak nama selaku penjaring untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada separuh masa pertama. Dengan kedudukan aggregat 3-0, ramai yang beranggapan Ajax sudah selangkah untuk menempah tempat untuk berdepan Liverpool dalam perlawanan akhir.

Namun Lucas Moura mempunyai idea lain. Beliau menjadi hero buat pasukannya apabila mencipta hatrik pada separuh masa kedua untuk menghantar Spurs ke perlawanan akhir. Jaringan Moura pada minit ke-95 meranapkan impian kanak-kanak Ajax yang kempunan untuk ke final.

Tadic bagaikan tidak percaya

Semua pemain dan peminat Spurs bersorak gembira bagaikan tidak percaya dengan kebangkitan yang dilakukan pasukan mereka. Tambah manis ia dilakukan di hadapan penyokong lawan dan buat kali pertama dalam sejarah kelab tersebut, mereka mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Antara yang paling terkesan dengan kekalahan tersebut adalah bekas pemain Southampton yang kini merumput di Belanda, Dusan Tadic.

"Tiada perkataan yang mampu menggambarkan perasaan saya ketika ini. Saya berasa sangat sedih dan teruk. Saya rasa kami tidak berhak untuk mengalami situasi sebegini."

Saat yang ingin dilupakan peminat Ajax dan Arsenal

"Apabila anda berasa yang anda berhak atas sesuatu tetapi tidak mendapatnya, anda akan berasa sangat kecewa dan marah."

Apabila ditanya adakah beliau pernah merasai perasaan sedih seperti ini, ini jawapan Tadic.

"Tidak pernah."

Pengurus Ajax, Erik Ten Haag turut memberikan komen terhadap kekalahan penuh tragis pasukan bimbingannya kepada Spurs.

"Pertama sekali, saya menghadapi kesukaran untuk mencari perkataan yang mampu menggambarkan situas yang berlaku kepada kami."

Kapten Ajax berusia 19 tahun hanya mampu mengelap air mata.

"Bola sepak sangat kejam dan malam ini, kami terpaksa menerimanya. Tetapi kami perlu melupakan perlawanan ini. Kami tidak mampu melupakannya dalam masa sehari dua, dan saya tidak akan meminta pemain untuk berbuat demikian."

"Tetapi apabila anda sudah sangat dekat untuk mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah, ia perasaan yang agak unik. Dan pemain saya juga mengerti perkara tersebut. Kami perlukan sedikit masa untuk melupakan pengalaman tadi."




Paparkan Komen