Southgate: Rashford Ada Potensi Capai Tahap Ronaldo

Izuddin oleh Izuddin 1 minggu yang lalu

Pengurus England, Gareth Southgate percaya Marcus Rashford merupakan seorang pemain yang istimewa dan mempunyai potensi yang sama seperti Cristiano Ronaldo pada usia yang sama.

Southgate meletakkan harapan setinggi gunung terhadap pemain muda Manchester United itu untuk bergelar pemain berkelas dunia seperti Ronaldo, sehingga mendakwa Rashford sebenarnya pemain yang lebih baik di hadapan gol berbanding Ronaldo pada usia 20 tahun.

Rashford lebih klinikal di hadapan gol jika hendak dibandingkan dengan Ronaldo ketika masing-masing berusia 20 tahun

Southgate mahu peminat United dan England lebih bersabar dengan Rashford kerana perlu diakui pemain tersebut masih lagi seorang pemain remaja walaupun telah lama bermain dengan skuad utama Red Devils dan Three Lions.

Rashford juga wajar diberikan masa dan ruang untuk berkembang dan Southgate turut percaya produk akademi United ini berada dalam landasan terbaik untuk mengikut jejak langkah Ronaldo untuk bergelar pemain terbaik dunia.

Dalam perlawanan terakhir England, Rashford muncul wira buat negaranya dengan menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk menewaskan Switzerland dalam aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Wembley.

Southgate gesa semua pihak berikan masa kepada Rashford untuk berkembang menjadi pemain berkelas dunia

Walaupun menang, Southgate sedar skuad England kendaliannya masih lagi mempunyai ruang untuk bermain dengan lebih baik. Namun begitu, Rashford merupakan pemain yang paling mencuri perhatiannya dalam perlawanan tersebut dan percaya pemain muda ini mampu berkembang menjadi salah seorang pemain terbaik di dunia.

"Marcus Rashford merupakan pemain yang mempunyai bakat istimewa. Kita juga harus ingat Harry Kane pada usia sama seperti Rashford sekarang jarang diberikan peluang bermain untuk Tottenham Hotspurs."

"Anda juga boleh membandingkan Rashford dengan beberapa pemain berkelas dunia yang menyerlah pada usia yang muda."

"Ronaldo melakukan banyak 'trick' dan 'step-over' pada usia muda beliau yang mana ia merupakan perkara yang menakjubkan untuk ditonton, tetapi Ronaldo gagal menukar peluang yang beliau miliki kepada gol."

"Jadi sekarang, kami perlu memberikan masa kepada Rashford untuk berkembang."

Ronaldo dikenali sebagai pemain sayap yang lincah ketika bermain untuk Red Devils suatu ketika dahulu

"Beliau telah bermain dalam banyak perlawanan bola sepak, walaupun bukan berterusan. Saya berasa sangat gembira kerana Rashford meninggalkan kem England dalam keadaan penuh keyakinan selepas menjaringkan gol ketika menentang Switzerland."

Mengikut statistik dalam 3 musim pertama bersama Manchester United, Rashfor berjaya menjaringkan lebih banyak gol daripada apa yang pernah dijaringkan Ronaldo dahulu.

Ronaldo hanya mampu menjaringkan 27 gol dari 137 penampilan manakala Rashford mempunyai rekod yang lebih baik iaitu 32 gol dari 123 perlawanan.




Paparkan Komen