Solari: Isco Tidak Cukup Cergas Untuk Bermain Dengan Real Madrid

Izuddin oleh Izuddin 2 bulan yang lalu

Pengurus sementara Real Madrid, Santiago Solari mengkritik tahap kecergasan Isco yang dianggapnya sebagai punca mengapa pemain tersebut gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama Real Madrid musim ini.

Pemain tengah Sepanyol itu sering memanaskan bangku simpanan di bawah Solari dan Solari mendakwa tahap kecergasan yang tidak memuaskan menjadi punca mengapa peminat tidak dapat melihat Isco beraksi dengan lebih kerap.

Adakah Liga Perdana Inggeris destinasi Isco yang seterusnya ?

Isco yang kini sudah berusia 26 tahun, hanya melakukan 5 penampilan dalam kesebelasan utama Los Blancos untuk perlawanan La Liga musim ini dan sejak Solari mengambil alih jawatan pengurus pada Oktober tahun lepas, Isco langsung tidak diturunkan.

Terbaru, Isco mengambil keputusan untuk tidak bersama dengan ahli skuad yang lain selepas namanya tidak disenaraikan bagi menghadapi Ajax dalam perlawanan timbal balik Liga Juara-Juara Eropah.

Solari enggan memberi komen lebih lanjut mengenai tindakan Isco yang enggan bersama skuad Real Madrid pada hari perlawanan, tetapi memberi bayangan tahap kecergasan Isco yang tidak memuaskan menjadi punca mengapa beliau jarang diturunkan bermain.

"Masalah disiplin akan ditangani secara dalaman." Ujar Solari apabila ditanya mengenai masalah Isco dalam sidang media menjelang pertemuan La Liga menentang Real Valladolid malam ini.

"Untuk bermain, anda perlu berada pada tahap fizikal yang bagus terlebih dahulu dan selepas itu anda perlu mengekalkannya."

Isco mereput di bawah Solari

Dalam perkembangan lain pula, masa depan Solari bersama Real Madrid dilihat akan berakhir tidak lama lagi dengan spekulasi bertiup kencang mengatakan bekas pengurus, Jose Mourinho bakal kembali menjawat kerusi panas di Santiago Bernabeu untuk saingan musim hadapan.

Real Madrid baru sahaja melalui 11 hari yang dianggap 'tempoh paling teruk' sepanjang sejarah kelab tersebut. Dalam tempoh tersebut, Real Madrid tewas sebanyak dua kali kepada Barcelona di gelanggang sendiri, satu dalam pertandingan Copa Del Rey dan terbaruu mereka tewas dalam saingan La Liga.

Tambah memalukan, Real Madrid tewas 4-1 kepada Ajax dalam perlawanan timbal balik 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara Eropah, seterusnya tersingkir dari pertandingan tersebut.

Isco bukanlah satu-satunya pemain yang mempunyai masalah dengan pengurus Real Madrid musim ini. Pemain bintang seperti Gareth Bale dan Marcelo juga sering memanaskan bangku simpanan sejak kebelakangan ini.

Terdapat juga laporan yang mengatakan Presiden Real Madrid, Florentino Perez dan kapten pasukan, Sergio Ramos bertikam lidah dalam bilik persalinan selepas tidak berpuas hati dengan persembahan Real Madrid ketika menentang Ajax.

Marcelo dan Bale antara pemain bintang yang kehilangan tempat di bawah Solari. #SolariOut

Los Blancos kini berada di kedudukan ke-3 dalam La Liga, 15 mata ditinggalkan musuh tradisi Barcelona yang selesa berada di tangga teratas liga.

Real Madrid hanya mempunyai baki 12 perlawanan untuk cuba merapatkan jurang dengan Barcelona, tetapi berdasarkan situasi semasa yang dihadapi kelab tersebut, agak sukar untuk melihat ia berlaku.




Paparkan Komen