Sepanyol Pecat Jurulatih Kerana Real Madrid, Hierro Diumum Sebagai Pengganti

Izuddin oleh Izuddin 5 bulan yang lalu

Sepanyol melakukan tindakan di luar jangkaan dengan memecat ketua jurulatih, Julen Lopetegui beberapa hari sebelum berlangsungnya pertemuan pertama mereka menentang Portugal pada Jumaat nanti.

Tindakan mengejut ini dijangka akan menggugat kestabilan skuad Sepanyol yang dianggap salah sebuah pasukan pilihan untuk menjulang trofi Piala Dunia di Russia nanti.

Lopentegui dipecat dua hari sebelum raya. Kesian

Beberapa hari sebelum ini, Real Madrid mengumumkan mereka telah melantik Lopentegui sebagai pengurus yang baru, menggantikan tempat Zinedine Zidane yang mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan tersebut selepas 4 tahun bersama. Lopentegui dilaporkan bersetuju untuk menandatangani kontrak selama 3 tahun bersama Real Madrid.

Real Madrid turut berkata Lopentegui akan mengambil alih tugas Zidane di Santiago Bernabeu sebaik sahaja kempen Piala Dunia Sepanyol berakhir.

Walaubagaimanapun, tindakan tersebut tidak disenangi Persekutuan Bolasepak Sepanyol yang mendakwa pihaknya tidak diberitahu mengenai perjanjian Real Madrid dan Lopentegui.

Suatu ketika dahulu

Dalam satu sidang media tergempar untuk mengumumkan pemecatan tersebut, Presiden FA Sepanyol, Luis Rubiales berkata pihaknya terpaksa bertindak kerana Lopentegui bertindak di belakang mereka dengan menerima tawaran untuk menjadi pengurus Real Madrid.

"Kami terpaksa berpisah dengan ketua jurulatih Sepanyol sekarang. Kami ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau."

"Perbincangan di antara Real Madrid dan Lopentegui diadakan tanpa pengetahuan FA Sepanyol dan kami hanya diberitahu mengenai perkara ini 5 minit sebelum berlangsungnya sidang media. Ada cara yang lebih baik untuk menangani perkara sebegini."

Fernando Hierro bakal ambil alih tugas jurulatih Sepanyol sehinga tamat kempen Piala Dunia

"Pasukan Sepanyol terdiri daripada semua rakyat Sepanyol. Anda tidak boleh melakukan perkara sebegini [mengadakan perbincangan tanpa pengetahuan FA Sepanyol], dua tiga hari sebelum bermulanya Piala Dunia. Kami terpaksa mengambil tindakan drastik ini."

Bagi mengisi kekosongan Lopentegui, FA Sepanyol telah mengumumkan bekas pemain kebangsaan, Fernando Hierro akan menggalas tugas ketua jurulatih sehingga tamat Piala Dunia 2018.

Hierro merupakan direktor sukan Sepanyol dan dianggap calon paling sesuai untuk mengisi peranan tersebut dalam masa terdekat ini memandangkan beliau mengenali selok belok skuad kebangsaan Sepanyol sekarang.

Hierro dijangka akan berada di bangku simpanan Jumaat ini apabila Sepanyol memulakan kempen mereka dengan pertemuan sukar menentang Portugal.

"Fernando Hierro akan mengambil alih tugas sebagai jurulatih pasukan kebangsaan di Piala Dunia Russia dan akan dipersembahkan kepada sidang media sambil ditemani Presiden Persatuan Bolasepak Sepanyol, Luis Rubiales."

Ramos mahu rakan-rakannya lupakan episod hitam ini dan fokus pada tugasan Piala Dunia

"Selepas itu, beliau akan mengemudi sesi latihan pertamanya dan pada hari Jumaat, beliau akan melakukan debut di Sochi dalam pertemuan Sepanyol menentang Portugal."

Kapten Sepanyol dan Real Madrid, Sergio Ramos menerusi akaun Twitter menggesa rakan sepasukannya melupakan isu ini dan bersedia untuk mewakili negara di Piala Dunia nanti.

"Kita merupakan wakil kepada lencana, warna, peminat dan negara ini. Komitmen dan tanggungjawab ada di tangan kita. Semalam, hari ini, dan esok !"




Paparkan Komen