Seedorf Sifatkan Kehilangan Zidane Punca Kejatuhan Real Madrid, Bukan Ronaldo

Izuddin oleh Izuddin 2 bulan yang lalu

Bekas pemain Real Madrid & AC Milan, Clarence Seedorf percaya pertukaran pengurus menjadi punca utama mengapa Real Madrid bergelut untuk mempamerkan prestasi terbaik mereka dalam La Liga jika dibandingkan dengan kehilangan pemain berpengaruh, Cristiano Ronaldo.

Musim panas 2018 menyaksikan perubahan besar-besaran berlaku di Santiago Bernabeu selepas Real Madrid berjaya memenangi Liga Juara-Juara Eropah buat kali ke-3 berturut-turut.

Ronaldo adalah raja di Madrid tapi kehilangan Zidane menyebabkan seluruh pasukan hilang pedoman

Bekas pemain yang memacu Real Madrid menawan Eropah musim lalu, Zinedine Zidane mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan ketika berada di kemuncak.

Tambah memeritkan lagi keadaan, pemain terbaik dunia 5 kali, Cristiano Ronaldo meminta untuk dilepaskan untuk berpindah ke Juventus selepas 9 tahun bermain di Sepanyol.

Disebabkan perubahan tersebut, Real Madrid gagal mengulangi prestasi cemerlang musim lalu dan mengakibatkan pengganti Zidane, Jolen Lopentegui kehilangan jawatannya pada awal musim.

Seedorf yang berpengalaman luas di peringkat Eropah diminta untuk mengulas manakah yang memberi kesan lebih besar terhadap prestasi tidak menentu Real Madrid musim ini.

Zidane tinggalkan Madrid ketika berada di kemuncak. Sebelum kena pecat, baik cabut sekarang

"Cristiano dianggap seperti raja di Real Madrid dan kehadiran beliau dalam pasukan menjanjikan gol."

"Jika Ronaldo masih lagi ada dalam skuad, sudah tentu Real Madrid akan mempunyai lebih banyak keyakinan dalam diri mereka. Tetapi saya tidak rasa keputusan perlawanan akan banyak berubah seperti sekarang."

"Kehilangan Zidane membawa impak yang lebih besar kerana cara pasukan tersebut bekerja turut berubah. Sesiapa sahaja yang menggantikan Zidane perlu melakukan perkara yang istimewa untuk membawa kejayaan segera kepada pasukan dan mengatasi kepayahan yang sudah dijangka tiba."

Antara pemain yang paling terjejas dengan prestasi tidak menentu Real Madrid adalah Isco. Pemain tengah Sepanyol itu semakin dilupakan di Santiago Bernabeu dan masa depan beliau mungkin berada di tempat lain selepas ini.

"Isco adalah pemain yang sangat penting dan beliau adalah salah seorang pemain bola sepak yang saya mahu berada di atas padang sekiranya saya mempunyai peluang untuk melatih beliau."

"Pada masa yang sama, semua pemain akan melalui fasa yang sukar dan adalah menjadi tugas jurulatih untuk membantu pemain tersebut memulihkan fizikal atau mental aspek."

Seedorf berminat latih Los Blancos pada masa hadapan

"Solari bukannya gila sangat untuk meninggalkan seseorang pemain tanpa alasan yang kukuh."

Seedorf kini memegang tugas selaku pengurus pasukan kebangsaan Cameroon tetapi tidak menolak untuk menguruskan Real Madrid pada masa hadapan sekiranya diberikan peluang.

"Ianya sama seperti saya pulang ke rumah."

"Saya mempunyai pengalaman seperti itu ketika menjadi jurulatih AC Milan, jadi perasaan untuk menguruskan Real Madrid sudah tentu sama."




Paparkan Komen