Salah Mahu Buktikan Tindakan Chelsea Melepaskannya Adalah Salah

Izuddin oleh Izuddin 5 bulan yang lalu

Penyerang Liverpool, Mohamed Salah mendedahkan salah satu sebab beliau kembali bermain di Liga Perdana Inggeris adalah untuk membuktikan tindakan Chelsea menjualnya dahulu adalah salah.

Salah menyertai Chelsea pada Januari 2014 tetapi gagal menyerlah di bawah Jose Mourinho. Beliau kemudian dipinjamkan kepada Fiorentina sebelum dijual kepada AS Roma pada tahun 2016.

Permata yang hilang

Salah hanya bermain selama semusim untuk Roma sebelum Liverpool membayar  £36.9juta bagi mendapatkan khidmatnya ketika jendela perpindahan musim panas tahun lepas.

Tindakan Liverpool menandatangani Salah nyata membuahkan hasil apabila pemain antarabangsa Egypt tersebut berjaya menjaringkan 42 gol dalam 48 penampilan di musim pertamanya bersama The Reds.

Persembahan cemerlang yang ditampilkan Salah dalam saingan Liga Perdana Inggeris menyaksikan beliau dinamakan sebagai pemenang anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA dan juga Pemain Terbaik FWA.

Jika dilihat pada sumbangan Salah kepada Liverpool musim ini, yuran perpindahan yang dibayar Liverpool untuk membawa pemain tersebut ke Anfield merupakan satu urusniaga yang sangat berbaloi.

Salah berjaya buktikan tindakan Mourinho adalah salah !

Salah mengakui faktor utama beliau kembali bermain di England adalah untuk membuktikan kepada Chelsea dan Jose Mourinho yang mana tindakan mereka melepaskan beliau pada tahun 2015 adalah tidak tepat.

"Secara jujurnya, perkara tersebut sering berlegar di dalam fikiran saya sejak saya meninggalkan Chelsea. Seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, saya mahu kembali bermain di England kerana banyak pihak berkata, 'Salah tidak mampu berjaya di England dan beliau tidak cukup bagus untuk bermain di Liga Perdana Inggeris'."

"Jadi niat untuk kembali memang selalu berlegar dalam fikiran saya. Saya mengharungi dua musim yang cemerlang bersama AS Roma dan semua orang berkata, 'Tidak, jangan kembali ke sana.' Tetapi niat saya memang untuk kembali ke England bagi membuktikan kepada mereka yang meragui saya dahulu yang mereka salah menilai saya."

Liverpool hanya memerlukan satu mata sahaja untuk memastikan tempat ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan berikutan keputusan seri yang dicatatkan Chelsea ketika menentang Huddersfield Rabu lalu.

Anak buah Jurgen Klopp bakal melayan kunjungan Brighton dalam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris musim ini sebelum mengalihkan tumpuan mereka kepada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid hujung bulan nanti.

10 gol Salah di Liga Juara-Juara Eropah berjaya memacu Liverpool ke perlawanan akhir

Real Madrid berjaya memenangi pertandingan tersebut sebanyak 3 kali daripada 4 musim terakhir dan merupakan pasukan pilihan dalam aksi final nanti. Tetapi Salah mendakwa beliau yakin dengan peluang Liverpool melakukan kejutan dalam pertembungan tersebut.

"Sudah tentu, Liverpool mampu menewaskan Real Madrid. Kami melepasi pusingan suku akhir dan separuh akhir dengan menewaskan pasukan kuat seperti Manchester City dan AS Roma. Kedua-duanya adalah pasukan yang bagus, mempunyai kualiti yang istimewa dan mengharungi musim yang menakjubkan."

"Kini yang tinggal hanya satu langkah sahaja dan kami akan berjuang untuk memenangi perlawanan akhir itu nanti. Semua pihak di bandar ini sudah tidak sabar, jadi kita tunggu dan lihat sahaja apa yang bakal berlaku."




Paparkan Komen