Rooney: Manchester United Perlukan Dua Pemain Baru Untuk Mencabar Manchester City

Izuddin oleh Izuddin 1 minggu yang lalu

Bekas kapten England, Wayne Rooney amat berharap bekas kelabnya mampu memberi cabaran kepada Manchester City dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini. Walau bagaimanapun, Rooney percaya Manchester United masih memerlukan dua pemain baru sekiranya mahu berbuat demikian.

United menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris musim lepas di tempat kedua, tetapi 19 mata ditinggalkan City yang selesa menghuni tangga teratas. Anak buah Pep Guardiola juga mencipta sejarah baru dalam Liga Perdana Inggeris apabila menjadi pasukan pertama berjaya mengutip 100 mata dalam satu musim.

Rooney mahu dua pemain, tetapi Mourinho mungkin mahu lebih banyak dari itu

Menurut beberapa sumber yang boleh dipercayai, Manchester United sedang mempersiapkan tawaran terakhir kepada Leicester untuk mendapatkan pemain pertahanan England, Harry Maguire.

Dengan pintu perpindahan akan ditutup pada hari Khamis (esok), Ed Woodward harus bekerja lebih keras dan bertindak cepat untuk meyakinkan Leicester supaya melepaskan Maguire. Selain Maguire, pemain pertahanan Tottenham Toby Alderweireld dijangka menyertai United selepas yuran perpindahan akhirnya dipersetujui di antara kedua-dua belah pihak.

Rooney yang kini membawa diri ke Amerika Syarikat untuk bermain dengan DC United, mengakui bekas kelab lamanya itu perlu menambah satu atau dua pemain untuk memenangi liga musim ini.

Hanya Fred pemain mahal yang dibawa masuk United pada jendela perpindahan kali ini

"Saya rasa agak sukar untuk melihat Manchester United memenangi liga musim ini selepas melihat persembahan Manchester City musim lalu. Mereka berjaya menunjukkan bola sepak yang sangat baik."

"Tetapi saya amat berharap akan ada pasukan yang mampu memberi cabaran kepada Manchester City. Dan saya berharap pasukan tersebut adalah Manchester United. Mungkin satu atau dua pemain baru akan membantu United melakukan perkara tersbeut."

"Saya yakin Jose Mourinho sedang mempersiapkan skuad Manchester United untuk berada dalam landasan yang tepat. Saya tahu terdapat banyak perbincangan mengenai pra-musim United di sidang akhbar tetapi ia sudah pon berlalu."

Jauh Rooney merantau demi mencari kontrak lumayan terakhir sebelum menggantung boot

"Mereka mempunyai perlawanan pada hari Jumaat ini menentang Leicester City. Saya berharap mereka akan naik satu anak tangga lebih tinggi musim ini, dari tempat kedua ke tempat pertama dan membawa balik trofi liga ke Old Trafford."

Manchester United akan memulakan musim Liga Perdana Inggeris 2018/2019 dengan melayan kunjugan Leicester City di Old Trafford pada awal pagi Sabtu ini (3.00 am waktu Malaysia).

So kepada pemain-pemain Fantasy Premier League sekalian, kemas kini skuad anda sekarang sebelum terlambat.




Paparkan Komen