Ronaldo Gagal Menangi Ballon d'Or Kerana Mafia ?

Izuddin oleh Izuddin 1 minggu yang lalu

Adik perempuan Cristiano Ronaldo, Elma meluahkan perasaan marah melihat abangnya tidak memenangi Ballon d'Or 2018, dan menyalahkan 'mafia' sebagai punca mengapa Ronaldo tidak memenangi anugerah tersebut.

Kapten Portugal itu gagal menambah koleksi trofi Ballon d'Or menjadi 6 apabila Luka Modric dinamakan sebagai pemenang untuk edisi 2018, sekaligus menamatkan dominasi Lionel Messi dan Ronaldo sejak 10 tahun yang lalu.

Ronaldo gagal memecahkan rekod Ballon d'Or terbanyak apabila Modric dinamakan sebagai pemenang

Dalam majlis yang berlangsung di Paris, Ronaldo dianggap antara calon utama bagi memenangi anugerah berprestij tersebut bersama Modric dan Antoine Griezmann.

Namun begitu, selepas undian dijalankan, Ronaldo terpaksa mengaku kalah dengan Modric menerima undian tertinggi manakala Ronaldo berada di kedudukan ke-2. Penyerang Atletico Madrid, Antoine Griezmann sekali lagi pulang hampa apabila hanya mampu menduduki tangga ke-3 walaupun membantu Perancis memenangi Piala Dunia di Rusia beberapa bulan yang lalu.

Rakan senegaranya, Kylian Mbappe berada di kedudukan ke-4 tetapi masih mampu pulang dengan senyuman kerana beliau dinamakan sebagai pemenang 'Kopa Trophy' buat pertama kali dalam sejarah. 'Kopa Trophy' merupakan anugerah khas bagi menghargai pemain terbaik bawah 21-tahun dan ia dipilih oleh pemenang Ballon d'Or yang terdahulu.

Awal musim ini menyaksikan Ronaldo terlepas gelaran 'FIFA Best Award' yang mana ia turut dimenangi oleh Modric.

Modric mengharungi tahun 2018 dengan cemerlang dimana beliau berjaya membantu Real Madrid memenangi Liga Juara-Juar Eropah dan membawa Croatia sehingga ke perlawanan akhir, sebelum tumpas di tangan Perancis.

Adik dan kakak Ronaldo meroyan Modric menang Ballon d'Or. Perempuan.

Walaupun sudah mencecah usia 33 tahun, Ronaldo masih lagi dianggap sebagai penanda aras terhadap mana-mana pemain yang ingin bergelar pemain terbaik dunia, termasuk Messi.

Sebab itulah, terdapat segelintir pihak yang seperti tidak dapat menerima hakikat apabila mengetahui Ronaldo tidak memenangi Ballon d'Or. Antara pihak yang tidak gembira dengan keputusan tersebut adalah kaum kerabat Ronaldo sendiri.

Menerusi satu status yang dimuat naik di Instagram, adik perempuan Ronaldo, Elma menyalahkan mafia sebagai punca mengapa Ronaldo tidak memenangi anugerah Ballon d'Or tahun ini.

"Malangnya, ini adalah dunia yang kita duduki sekarang, busuk sebab mafia dan duit. Kuasa Tuhan lebih hebat dari 'kebusukan' ini semua."

Seorang lagi ahli keluarga Ronaldo iaitu kakaknya, Katia turut tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan menggunakan Instagram untuk meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

"Pemain terbaik dunia [sambil merujuk kepada Ronaldo].... sudah tentu kepada sesiapa yang benar-benar faham dengan bola sepak."

Walaupun dominasi Messi dan Ronaldo berakhir di tangan Modric, kedua-dua 'musuh' sejati ini dijangka akan kembali untuk bersaing merebut anugerah pemain terbaik dunia pada tahun hadapan berikutan aksi cemerlang dipamerkan mereka musim ini.

Untuk rekod, Ronaldo sudah berjaya menjaringkan 17 gol dalam semua pertandingan musim ini manakala Messi lebih cemerlang dengan 22 gol dalam semua pertandingan.




Paparkan Komen