Reus & Neuer Disenaraikan Dalam Skuad Awal Jerman Bagi Hadapi Piala Dunia 2018

Izuddin oleh Izuddin 1 minggu yang lalu

Penjaga gol Bayern Munich, Manuel Neuer dan pemain sayap Borussia Dortmund, Marco Reus telah disenaraikan oleh Joachim Low dalam skuad awal Jerman untuk menghadapi Piala Dunia 2018 yang bakal berlangsung di Russia tidak lama lagi.

Neuer mengalami kecederaan hampir keseluruhan musim ini dan tempat beliau dalam pasukan utama Bayern Munich telah digalas dengan baik oleh Sven Ulreich.

Reus dan Neuer disenaraikan walaupun kecederaan membelenggu musim mereka

Selain Neuer, penjaga gol lain yang disenarai pendek oleh Low adalah Marc-Andre ter Stegen (Barcelona), Bernd Leno (Bayern Leverkusen) dan Kevin Trapp (Paris Saint-Germain).

Neuer merupakan nadi utama Jerman ketika mereka memenangi Piala Dunia 4 tahun lepas di Brazil. Disebabkan perkara tersebut, Low masih menyenaraikan Neuer walaupun pemain tersebut tidak cergas sepenuhnya.

Low akan memberi peluang kepada Neuer untuk membuktikan tahap kecergasannya terlebih dahulu sebelum senarai akhir pemain yang bakal berangkat ke Russia diumumkan.

"Kami mahu melihat sendiri sama ada Manuel Neuer mampu cergas atau tidak, jika beliau mempunyai peluang kami akan menilai beliau. Kami akan menilai Neuer dengan adil selepas kem latihan kebangsaan berakhir."

Otai masih berbisa. Keringat Gomez masih ditagih Low untuk membawa obor Jerman di Russia

Selain Neuer, pemain yang turut diberikan peluang untuk beraksi di Piala Dunia adalah Marco Reus. Reus ditimpa nasib malang 4 tahun lalu apabila mengalami kecederaan sebelum berlangsungnya Piala Dunia dan hanya mampu menonton dari jauh rakan sepasukannya menjulang trofi paling agung tersebut.

Reus kembali dalam pasukan utama Borussia Dortmund sekitar bulan Februari dan membantu pasukannya mengakhiri musim di kedudukan ke-4 Bundesliga.

Rakan sepasukan Reus yang juga penjaring gol kemenangan Jerman dalam final Piala Dunia 2014, Mario Gotze diketepikan dari skuad awal Jerman selepas prestasinya merudum musim ini.

Penyerang VfB Stuttgart, Mario Gomez berpeluang menambah 73 penampilannya bersama Jerman apabila disenaraikan Low untuk mengetuai jentera serangan pasukan. Gomez merupakan watak penting untuk Jerman hampir sedekad lamanya dimana beliau terlibat dalam beberapa kejohanan utama seperti Euro 2008, Piala Dunia 2010, Euro 2012 and Euro 2016.

Korek korek cium dan lesettt...

Penyerang Bayern Munich, Sandro Wagner tidak bernasib baik apabila diketepikan Low walaupun mengharungi musim yang cemerlang di peringkat kelab. Penyerang berusia 30 tahun itu berjaya menjaringkan 15 gol dari 34 penampilan bersama juara Bundesliga musim ini, disamping mencatatkan 6 bantuan gol.

Low memilih Mario Gomez, Thomas Muller, Timo Werner dan Nils Petersen untuk mengetuai jentera serangan dalam skuad awal Jerman.

Beberapa pemain Jerman yang berpengkalan di England seperti perancang Arsenal Mesut Ozil, Ilkay Gundogan dan Leroy Sane (Manchester City), dan pemain pertahanan Chelsea, Antonio Rudiger juga dipanggil Joachim Low bagi memperkuatkan pasukan Jerman.

Senarai Awal Pemain Jerman Ke Piala Dunia 2018

Daripada senarai awal ini hanya 23 pemain sahaja yang akan dipilih dan dibawa ke Piala Dunia Russia 2018.

Penjaga Gol :

Bernd Leno (Bayer Leverkusen), Marc-Andre ter Stegen (Barcelona), Kevin Trapp (Paris Saint-Germain), Manuel Neuer (Bayern Munich)

Pertahanan :

Mats Hummels (Bayern Munich), Joshua Kimmich (Bayern Munich), Antonio Rudiger (Chelsea), Niklas Sule (Bayern Munich), Matthias Ginter (Borussia Monchengladbach), Jerome Boateng (Bayern Munich), Marvin Plattenhardt (Hertha Berlin), Jonas Hector (FC Koln), Jonathan Tah (Bayer Leverkusen)

Tengah/Penyerang :

Julian Brandt (Bayer Leverkusen), Julian Draxler (Paris Saint-Germain), Sami Khedira (Juventus), Toni Kroos (Real Madrid), Sebastian Rudy (Bayern Munich), Timo Werner (Red Bull Leipzig), Ilkay Gundogan (Manchester City), Mario Gomez (Stuttgart), Leroy Sane (Manchester City), Leon Goretzka (Schalke), Mesut Ozil (Arsenal), Thomas Muller (Bayern Munich), Nils Petersen (Freiburg), Marco Reus (Borussia Dortmund)




Paparkan Komen