Rashford Tandatangan Kontrak Lumayan Untuk Terus Kekal Bersama Red Devils

Izuddin oleh Izuddin 2 minggu yang lalu

Pemain antarabangsa England, Marcus Rashford akhirnya menamatkan desas-desus mengenai masa depannya apabila menurunkan tandatangan pada kontrak baru untuk terus kekal bersama Manchester United bagi 4 tahun yang akan datang.

Rashford yang kini menginjak usia 21 tahun, bakal menerima gaji yang agak lumayan sekitar £250,000 dan United juga mempunyai pilihan untuk melanjutkan kontraknya selama setahun selepas tempoh 4 tahun itu berakhir.

Rashford akan terus menjadi Setan Merah

Sejak Ole Gunnar Solskjaer mengambil alih tampuk pengurusan pada Disember tahun lalu, Rashford berjaya memikat hati pengendali dari Norway itu dimana beliau menjadi penyerang utama pasukan disamping Anthony Martial.

Peningkatan prestasi Rashford dibawah Solskjaer jelas kelihatan sehingga pemain itu dinamakan sebagai pemain terbaik bulanan Liga Perdana Inggeris bagi bulan Januari 2019.

Dengan pengumuman ini, ia sekaligus menamatkan segala spekulasi mengenai masa depan Rashford di Old Trafford dimana sebelum ini kontrak beliau hanya berbaki selama setahun sahaja lagi.

Sama seperti David Beckham dan Danny Welbeck, Rashford merupakan produk akademi Manchester United. Beliau melakukan debut bersama skuad utama pada Februari 2016 dalam satu perlawanan Europa League.

Ada orang cakap £250,000 seminggu.. tapi yang penting masyukkk

Sejak daripada itu, beliau sudah menjaringkan 50 gol dan mencipta 26 assists dalam 184 penampilan dalam semua pertandingan untuk kelab tersebut.

Rashford juga cepat melakukan impak dalam Liga Perdana Inggeris apabila berjaya menjaringkan 2 gol dalam perlawanan pertamanya ketika Arsenal bertandang ke Old Trafford untuk menentang Manchester United. Perlawanan tersebut berkesudahan dengan United berjaya meraih kemenangan tipis 3-2 ke atas Arsenal.

Di peringkat antarabangsa pula, Rashford sudah mengumpul 32 caps bersama skuad Three Lions pada usia yang sangat muda dan dijangka akan mengetuai jentera serangan England untuk satu tempoh yang cukup lama.

Sebaik sahaja menurunkan tandantangannya pada kontrak baru, Rashford meluahkan perasaan terima kasihnya kepada kelab yang banyak membantu membentuk karier beliau sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

"Manchester United adalah segala-galanya dalam hidup saya sejak saya tiba di sini pada usia 7 tahun. Kelab ini telah membentuk saya sebagai seorang pemain dan manusia. Jadi saya berasa cukup bertuah diberikan peluang untuk memakai jersi pasukan ini."

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ole dan staff kejurulatihan atas apa yang mereka lakukan kepada saya. Mereka merupakan kumpulan jurulatih yang sempurna untuk saya belajar dan meneruskan pembangunan dalam usaha untuk mara ke peringkat seterusnya."

Rashford zaman sebelum akil baligh

"Saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa kelab ini kembali ke tempat asal dan memberikan kejayaan yang peminat kami berhak raikan."

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer turut memberikan pujian tinggi melambung kepada Rashford sebaik sahaja pemain muda itu melanjutkan kontraknya bersama Setan Merah.

"Marcus adalah salah seorang pemain Inggeris paling berbakat dalam generasinya. Beliau merupakan pemain yang menakjubkan dan dikurniakan dengan kelajuan semulajadi dan tenaga."




Paparkan Komen