Polis Sahkan Berlaku Kes Curi Di GP Sepang

Encik Bakri oleh Encik Bakri 1 minggu yang lalu

Perlumbaan motosikal paling berprestij di dunia, Grand Prix(GP) telah hampir menuju ke penghujung musim bagi tahun 2019 dan saingan diteruskan di Grand Prix(GP) Malaysia yang merupakan perlumbaan kedua terakhir.

Malangnya kes kecurian yang terjadi membabitkan beberapa pasukan yang bertanding nyata telah memalukan dan mencalar imej Malaysia selaku tuan rumah perlumbaan ketika ini.

Laporan polis berhubung insiden memalukan ini telah dibuat dan pihak polis juga mengesahkan telah menerima laporan tentang kejadian tersebut daripada bahagian keselamatan Sepang International Circuit (SIC).

Perkara ini telah disahkan oleh Ketua Polis Bahagian KLIA, ACP Zulkifli Adamshah seperti memetik laporan daripada Bernama.

"Ada laporan polis yang telah dibuat oleh bahagian keselamatan SIC tetapi tiada butiran terperinci mengenai barang yang hilang."

Polis hanya mengesahkan bahawa laporan mengenai kes ini sudah terima namun tidak mendedahkan sebarang perincian mengenai kes ini.

Pihak SIC juga telah membuat kenyataan bahawa laporan polis mengenai insiden kecurian telah dibuat dan jumlah kerugian masih belum boleh dipastikan lagi.

Ganti rugi melibatkan pasukan yang terlibat akan dilindungi oleh insurans.

Kejadian memalukan ini nyata membuatkan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berasa kecewa kerana memberi imej tidak baik kepada kualiti kawalan keselamatan yang dikawal selia SIC ketika kejohanan berlangsung.

“Saya kecewa dengan insiden ini sebab kita sudah buat persediaan teliti dengan kerjasama pihak DORNA (pemegang hak penganjuran MotoGP) untuk menjaga keselamatan bukan sahaja terhadap pelumba tetapi harta benda mereka."

“Saya begitu marah kerana kita bersedia sepenuhnya namun ada pihak buat perkara ini untuk memburukkan nama negara dan nama litar yang kita anjurkan sukan bertaraf dunia,” katanya pada media di Litar Sepang, hari ini.

Beberapa pasukan telah menjadi mangsa kecurian ini yang dipercayai berlaku pada awal pagi Jumaat, antara pukul 1 hingga 5 pagi, dalam keadaan cuaca hujan lebat.

Pasukan Angel Nieto Team merupakan pasukan yang mengalami kerugian paling teruk, di mana beberapa alat ganti seperti tayar depan, ‘suspension’ dan brek bagi jentera kelas Moto2 dan Moto3 telah dicuri.

“Apa yang saya dapat tahu selepas mesyuarat dengan pasukan, mungkin ada satu kumpulan yang sudah tahu apa yang mereka mahu curi."

“Sebagai contoh, ada tayar depan dan belakang tapi mereka ambil tayar depan sahaja. Mereka tahu alat ganti apa untuk digunakan pada jentera,” katanya.

Razlan menegaskan bahawa Litar Sepang dikawal rapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan turut mengambil langkah pengawasan yang ketat dengan mewujudkan sistem imbasan akreditasi bermula tahun ini.



Paparkan Komen