Pogba Kembali 'Menikmati' Bola Sepak Selepas Pemergian Mourinho

Izuddin oleh Izuddin 8 bulan yang lalu

Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba mengakui beliau kini kembali menikmati bola sepak selepas bergelut untuk mempamerkan aksi terbaiknya ketika era Jose Mourinho di Old Trafford.

Pelbagai kontroversi melanda Manchester United sepanjang 'pemerintahan' Mourinho dan yang paling mencuri tumpuan adalah hubungan dingin di antara Pogba dan pengurus berasal dari Portugal tersebut.

Pogba kembali menikmati bola sepak selepas pemergian Mourinho. Sebelum ni asyik parking bus je memang tak menonjol la Pogba ni

Pogba bergelut untuk mempamerkan persembahan terbaiknya walaupun tiba di England pada tahun 2016 selaku pemain termahal dalam sejarah pada ketika itu.

Pogba yang berjaya membantu Perancis menjuarai Piala Dunia 2018 di Russia beberapa bulan yang lalu sering 'keluar masuk' pasukan dengan Mourinho sering melontarkan kritikan terbuka terhadap pemainnya itu.

Dalam beberapa perlawanan terakhir Mourinho selaku pengurus Manchester United, Pogba hanya memanaskan bangku simpanan sahaja. Pelbagai spekulasi mula timbul pada ketika itu dengan pihak media mengaitkan Pogba dengan perpindahan keluar untuk kembali menyertai Juventus.

Walau bagaimanapun, langit kembali menjadi cerah sejak Red Devils memecat Jose Mourinho bulan lalu dan melantik Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus sementara. Manchester United menang kesemua lima perlawanan di bawah Solksjaer dan prestasi Pogba meningkat dengan mendadak.

Pogba semakin cergas dan bersedia diturunkan menentang Spurs. Jaga-jaga, United sudah bangkit

Untuk bulan Disember 2018 sahaja, Pogba berjaya menjaringkan 4 gol dan mencipta 3 assists untuk menjadikan bulan lalu sebagai bulan paling produktif buat Pogba sepanjang kariernya.

"Sudah tentu, ianya bagus. Bulan sebelum itu [November], saya tidak bermain dengan kerap, jadi untuk kembali beraksi di dalam padang dan beraksi dengan rakan-rakan yang lain merupakan perkara yang bagus untuk saya."

"Segalanya berjalan dengan baik untuk saya dan saya gembira dapat menikmati bola sepak bersama rakan-rakan yang lain."

Kecemerlangan Pogba menyaksikan pemain tersebut dinamakan sebagai pemain terbaik bulanan Manchester United berikutan 4 gol yang dijaringkannya ketika menentang Huddersfield dan Bournemouth.

Apabila ditanya gol manakah yang menjadi kegemarannya sepanjang bulan Disember lalu, Pogba memilih gol tandukannya ketika menentang Bournemouth.

"Saya rasa gol paling saya suka adalah tandukan ketika menentang Bournemouth. Tandukan bukanlah perkara terbaik saya. Waktu ia berlaku sangat baik dan hantaran daripada Ander Herrera juga sangat bagus. Jadi ia adalah gol yang bagus."

Walau bagaimanapun, Pogba perlu melupakan seketika bola sepak selepas mengutip kecederaan ketika aksi Tahun baru. Beliau tidak beraksi ketika United menumpaskan Newcastle 2-0 dan kemenangan ke atas Reading dalam Piala FA pusingan ke-3.

Namun begitu, kecederaan Pogba mula beransur pulih dan beliau dijangka sembuh untuk berada dalam kesebelasan utama menentang Tottenham hujung minggu ini.

Peminat Red Devils sangat berharap pasukan kesayangan mereka akan mampu meneruskan rentetan kemenangan mereka menjadi 6 kemenangan berturut-turut.




Paparkan Komen