Empat Peraturan Baru Yang Patut Diwujudkan Di Premier League

Eikrem oleh Eikrem 2 minggu yang lalu

Seperti mana yang kita maklum, Liga Perdana Inggeris telah memperkenalkan peraturan baharu termasuklah Video Assistant Referee (VAR). Kalau kau masih tak tahu, sila klik sini.

Kalau kau tak nak klik juga, kau penyokong Juventus lepas Ronaldo main sana.

Apabila kita kaji secara terperinci, peraturan baharu yang diperkenalkan tu tidaklah akan memberikan impak yang besar dalam permainan.

Jadi, selaku portal sukan yang mempunyai orang dalam di FIFA dan KAFA, kami senaraikan peraturan baharu yang bakal mengubah dan merancakkan lagi permainan.

1. Pertukaran Pemain Dengan Pantas

Seringkali kita melihat apabila berlaku pertukaran pemain, pemain yang dikeluarkan akan berjalan perlahan atau dalam bahasa mudahnya - lembap, terutamanya ketika pasukan mereka sedang mendahului lawan.

Sebelum keluar padang, mesti pemain tu berjalan secara hanjur.

Kalau ikutkan hati, mereka nak merangkak je keluar padang.

Untuk mengelakkan amalan pembaziran masa, pemain yang dikeluarkan perlu meninggalkan padang dalam tempoh lima saat sahaja.

Jika masa yang lebih diambil, maka kad merah akan dilayangkan kepada pemain tersebut.

Ini secara automatiknya dapat menjimatkan masa, selain melahirkan pemain yang cergas sentiasa.

2. Pertukaran Pemain Gaya NFL

Kita selalu lihat muka kecewa para pemain simpanan yang tidak diturunkan. Apakah sudah hilang rasa kemanusiaan dalam jiwa jurulatih sehingga menyeksa emosi pemain?

Pasukan perlu dibenarkan membawa sebanyak 50 pemain pada hari perlawanan | Gambar : NFL Girl UK

Itu belum kira pemain yang bergaji mahal tetapi tidak diturunkan. Apa guna bayar beratus ribu Pound Sterling seminggu hanya untuk bermain piano?

Jadi untuk mengatasi masalah ini, pertukaran pemain perlu mengikut gaya NFL - American Football.

Pengurus boleh keluarkan dan masukkan pemain ikut suka hati mereka, tanpa menghiraukan pengadil di tengah padang.

Jadi para pemain yang jarang diturunkan pasti akan mendapat sedikit masa di atas padang walau seteruk manapun kualiti mereka.

Peraturan ini telah diuji ketika perlawanan antara Sokernet dan Si Rashid beberapa purnama dahulu dan ujikaji ini boleh dikatakan berjaya kerana pasukan boleh menukar taktik pada bila-bila masa sahaja.

Bahkan peraturan ini juga mampu mengelirukan pengadil sekaligus menjadikan mereka lebih fokus dan dan berhati-hati dalam membuat keputusan.

Dalam jangka masa panjang, ia akan melahirkan pengadil yang lebih berkualiti dan tidak bergantung kepada VAR semata-mata dalam membuat keputusan tepat.

3. Meraikan Jaringan Gol

Biasanya kita lihat, apabila gol dijaringka, terutamanya pendahuluan, pemain akan meraikan dengan pelbagai gaya.

Ada yang buka baju, ada meraikan bersama penyokong dan ada juga yang meghisap ibu jari sendiri ketika meraikan gol.

Apa tak masin kah ibu jari yang berpeluh tu? Geli bukan?

Keraian seperti ini patut dilarang

Lebih teruk lagi, keraian gol juga boleh mengganggu emosi pihak lawan dan ini bertentangan dengan wadah beautiful game yang dilaung oleh FIFA sendiri.

Maka untuk mengatasi masalah ini, pasukan yang menjaringkan gol patut dilarang sama sekali daripada meraikan jaringan tersebut.

Malah pemain yang menjaringkan gol patut dilarang sama sekali daripada senyum.

Menjaringkan gol adalah satu tugas, bukan perayaan dan ini perlu dititikberarkan dalam era bola sepak moden ini.

Mana-mana pemain yang melanggar peraturan ini patut dilayangkan kad kuning dan sekiranya kesalahan berulang, maka kad merah dan dan penggantungan empat perlawanan perlu dijalankan.

4. Bermain Dengan 15 Pemain Jika Bertemu Liverpool

Satu dunia tahu Liverpool adalah pasukan yang power dan terhebat. Buktinya mereka berjaya menjuarai Liga Juara-juara Eropah(UCL) dengan mudah pada bulan lalu.

Malah Barcelona turut dibelasah tanpa belas di Anfield, lantas menyedarkan Leo Messi bahawa dia adalah pemain ketiga terhebat dunia di belakang Origi dan Van Dijk.

Tiada apa yang dapat menafikan kehebatan Liverpool dalam arena bola sepak dunia.

Pada musim baru ini, Liverpool dijangka akan mendominasi liga bermula perlawanan pertama.

Dalam bahasa mudah, Liverpool bermain 38 perlawanan nanti hanyalah sebagai formaliti mereka sebagai juara liga.

Jadi, untuk membawa cabaran dan keseimbangan dalam liga mana-mana pasukan yang bertemu Liverpool dibenarkan untuk menggunakan 15 pemain dalam satu-satu masa.

Sekiranya mereka masih belum mampu untuk mendahului Liverpool dalam tempoh 45 minit pertama, tambahan dua hingga tiga pemain perlu dibenarkan.

Kesimpulan

Pengenalan peraturan baru seperti yang disenaraikan di atas perlu diambil serius dan disegerakan oleh Premier League kerana ia akan menjadikan Premier League sebagai liga yang paling unik dan dan meriah di seantero dunia.

Lama kelamaan, peraturan-peraturan moden ini pasti akan ditiru dan menjadi ikutan liga bola sepak di seluruh dunia.

Kita selaku peminat Liga Inggeris perlu menerima peraturan yang bagus di atas dengan hati yang terbuka.

Kalau kau tak nak terima pun, kisah pulak aku.




Paparkan Komen