Pengurus Monaco Akui Thomas Lemar Mungkin Berpindah Januari Ini

Izuddin oleh Izuddin 9 bulan yang lalu

Ketua jurulatih Monaco, Leonardo Jardim mengakui beliau tidak dapat memberi jaminan Thomas Lemar akan terus kekal bersama Monaco.

Pemain antarabangsa Perancis ini mungkin dijual pada tirai perpindahan pemain yang dibuka kembali bulan ini, dengan Liverpool dan Arsenal dilaporkan berminat dengan khidmat beliau.

Orang kaya baru, Liverpool bakal memborong Lemar untuk menggantikan tempat Coutinho

Naib presiden Monaco, Vadim Vasilyev dan Jardim sendiri pernah mengeluarkan kenyataan sebelum ini yang mengatakan Lemar dan beberapa pemain utama lagi seperti Fabinho tidak akan dibenarkan berpindah pada pertengahan musim.

Kylian Mbappe, Bernardo Silva, dan Benjamin Mendy antara pemain utama yang telah meninggalkan Monaco musim panas lalu. Monaco kini berada di kedudukan ke-2 Ligue 1, 9 mata di belakang pendahulu liga, Paris Saint-Germain.

Pada musim panas lalu, Lemar hampir berhijrah ke England pada saat-saat terakhir tirai perpindahan selepas Monaco menerima tawaran dari Arsenal, tetapi pemain itu sendiri menolak untuk berpindah keluar.

Penolakan Lemar bermakna Manchester City terpaksa berputih mata untuk mendapatkan Alexis Sanchez ketika itu, dengan Arsene Wenger tidak membenarkan pemain ini berpindah selagi pengganti belum dijumpai.

Selepas melihat kejayaan Mbappe, Lemar pastinya tidak sabar untuk berpindah keluar.

Liverpool yang kini 'berduit' selepas menjual Philippe Coutinho kepada Barcelona dengan rekod jualan kelab bernilai  €160 juta dikatakan sangat berminat untuk mendapatkan Lemar. Liverpool melihat Lemar sebagai pengganti terbaik untuk menggantikan tempat Coutinho dalam pasukan.

Walaubagaimanapun, Jardim menegaskan Monaco tidak selalunya menjual pemain mereka pada pertengahan musim tetapi mengakui jika tawaran besar terhadap Lemar tiba, mereka mungkin mengubah pendirian tersebut.

"Kami kebiasaannya tidak akan menjual pemain pada musim sejuk. Tetapi jendela perpindahan pemain hanya akan berakhir hujung bulan ini dan banyak benda boleh berlaku."

Jardim turut memberitahu beliau akan melepaskan pemain yang jarang diturunkan bermain secara pinjaman kepada kelab luar seperti  Terence Kongolo dan Soualiho Meite.

"Mungkin beberapa pemain yang jarang beraksi akan dilepaskan secara pinjaman bagi mereka mendapatkan minit perlawanan."




Paparkan Komen