Pembantu Jose Mourinho Bakal Tinggalkan Manchester United Selepas 17 Tahun Bersama

Izuddin oleh Izuddin 4 bulan yang lalu

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mengesahkan pembantu beliau Rui Faria bakal meninggalkan Manchester United hujung musim nanti.

Mourinho dan Rui Faria telah bekerjasama selama 17 tahun dan Mourinho turut mengesahkan Faria kini bersedia untuk menjadi pengurus pasukan. Mourinho berkata demikian ketika memberikan temuramah kepada laman web rasmi Manchester United.

Pasangan yang telah bersama selama 17 tahun

"17 tahun sudah berlalu dan Rui Faria yang dulunya masih 'budak' kini sudah menjadi dewasa. 17 tahun kami bersama di Leiria, Porto, London, Milan, Madrid, sekali lagi di London dan hari ini di Manchester."

"Sesi latihan, hari perlawanan, berjalan ke luar negara, mengkaji, bergelak ketawa dan beberapa titik air mata kegembiraan. Dulunya, anak murid pintar kini sudah bertukar menjadi pakar bolasepak, bersedia untuk mengharungi karier sebagai pengurus pasukan yang cemerlang."

Mourinho membawa masuk Faria sebagai pembantu pengurus ketika beliau dilantik sebagai pengurus di Old Trafford pada tahun 2016. Mereka berdua turut bekerjasama ketika Mourinho menguruskan Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid.

Faria yang dilahirkan di Portugal dilaporkan berada dalam senarai calon pendek untuk mengambil alih tempat Arsene Wenger sebagai pengurus Arsenal.

Faria pernah digantung 6 perlawanan ketika Mourinho menjadi pengurus Chelsea suatu ketika dahulu

Faria berkata keputusan untuk meninggalkan Mourinho bagi meneruskan karier solonya sebagai pengurus pasukan merupakan keputusan yang cukup berat untuk diambil.

"Selepas mengambil kira banyak perkara, dengan berat hatinya, saya telah mengambil keputusan masanya telah tiba bagi saya untuk membawa haluan sendiri."

"Saya mengharungi 17 tahun yang menakjubkan dan tidak akan dapat dilupakan bersama Jose Mourinho. Walaubagaimanapun, saya akan meluangkan sedikit waktu bersama keluarga terlebih dahulu sebelum meneruskan cabaran baru dalam karier profesional."

"Saya dengan ini ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengurus, Jose Mourinho kerana mempercayai kebolehan saya sejak kami mula bekerjasama belasan tahun dahulu, yang mana ketika itu hanya impian bagi seorang pelajar."

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana memberikan saya peluang dan keyakinan, pengalaman dan ilmu, dan paling penting jalinan persahabatan yang terbina di antara kami berdua."

Selain Faria, Mourinho juga bertanggungjawab membentuk Andre Villa Boas sebagai seorang pengurus.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Manchester United dan juga semua kelab yang saya sangat berbesar hati berkhidmat sebelum ini."

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pemain dan juga barisan kejurulatihan yang telah memainkan peranan penting dalam membentuk saya menjadi seorang dewasa dan juga seorang profesional."

"Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua, mengetahui anda semua akan kekal menjadi kawan rapat pada masa hadapan."

Mourinho dan Manchester United berpeluang memberikan hadiah perpisahan terbaik kepada Faria apabila mereka bertemu Chelsea dalam perlawanan akhir Piala FA Sabtu minggu hadapan.




Paparkan Komen