Mufti Wilayah : Ibrah Yang Dapat Dipelajari Dari Kemenangan Liverpool

Encik Bakri oleh Encik Bakri 2 minggu yang lalu

Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang sememangnya diketahui ramai sebagai peminat Liverpool yang akan membuat hantaran demi hantaran di laman sosial usai Liverpool mempamerkan aksi penuh bermotivasi.

Seperti biasa Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan berkongsi ibrah atau pengajaran yang dapat dipelajari daripada perlawanan yang melibatkan Liverpool.

Kali ini Tuan Mufti menggariskan beberapa perkara yang boleh dipelajari seperti kombinasi permainan dengan semangat kerjasama, jangan leka dan kegagalan bukan alasan untuk berputus asa.

Ikuti hantaran penuh yang dibuat oleh Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri :

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dunia Bola Sepak Antarabangsa pagi ini telah dikejutkan dengan keputusan Juara Bertahan Liga Juara-Juara Eropah musim lalu iaitu Liverpool yang telah berjaya diikat oleh pasukan lawannya Red Bull Salzburg yang juga pendahulu liga utama negara Austria, dengan jaringan gol 3-3 setelah mereka mendahului lawan sebelum itu 3 gol berbalas kosong.

Antara pengajaran yang kami dapati daripada permainan tersebut ialah:

• Combination Play. Semangat berpasukan dan persefahaman yang tinggi dalam kalangan pemain Liverpool telah menghasilkan 4 Gol Team Play yang berkelas dunia. Gol-gol tersebut telah dijaringkan oleh Sadio Mane, Andrew Robertson dan Mohamed Salah dibantu bantuan gol oleh Roberto Firmino. Pengajarannya, jika kita ingin berjaya dalam hidup kita ini, kita perlukan pasukan 'sahabat' yang baik untuk saling melengkapi antara satu sama lain.

• Kelekaan Mengundang Padah. Segalanya tampak sempurna dengan Liverpool berjaya mengungguli lawan 3-1 tamat separuh masa pertama. Namun, kelekaan pasukan dalam bertahan mula menjadi kronik di awal separuh masa kedua, yang akhirnya memberi peluang kepada lawan untuk menyamakan jaringan gol. Sesungguhnya kelekaan saat diuji dengan kesenangan itu sangat membahayakan ketika diri terasa berada di dalam 'Comfort Zone'. Pengajarannya, bersama kita awasi 'Ujian Kesenangan' dan sentiasa mencabar diri untuk terus membaiki diri menjadi orang yang lebih baik.

• Kegagalan Bukan Alasan Berputus Asa. Pasukan Liverpool telah membuktikan, kegagalan mereka mempertahankan kelebihan gol akibat kelalaian mereka adalah bukan suatu alasan. Mereka telah sedar segera dan terus menyusun strategi serta tidak langsung berputus asa. Ini akhirnya berjaya membawa mereka memperoleh Gol Kemenangan yang telah dijaringkan oleh Mohamed Salah yang sangat klinikal saat menerima umpanan rakannya. Pengajaran yang boleh kita dapati ialah di saat kita diuji dengan kegagalan, jangan sesekali terus berputus asa untuk bangkit semula. Anggaplah ujian tersebut sebagai satu bentuk peringatan dari Tuhan, positifkan minda dan terus melangkah semula dengan gagah serta penuh tawakkal pada Ilahi.

Sekalung tahniah dan terima kasih Liverpool!

Anda telah memberi inspirasi dan semangat buat ramai masyarakat dunia hari ini.

Sumber :

https://muftiwp.gov.my/ms/sumber/berita/pejabat-mufti-wilayah-persekutuan/3715-qalam-mufti-48-liverpool-sang-juara-yang-bangkit-semula


Paparkan Komen