Mourinho Tidak Akan Lantik Pembantu Pengurus Baru Bagi Menggantikan Rui Faria

Izuddin oleh Izuddin 1 minggu yang lalu

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berkata beliau tidak akan menamakan pengganti yang baru untuk mengisi kekosongan pembantu pengurus Manchester United yang baru dikosongkan oleh Rui Faria.

Ketika ditanya pemberita sama ada beliau akan menggantikan tempat Faria, Mourinho menjawab tiada siapa yang akan dibawa masuk untuk mengisi posisi tersebut.

Pergi tiada ganti

"Tidak. Apa yang saya akan lakukan adalah saya akan menyusun kembali barisan kejurulatihan supaya posisi pembantu pengurus tidak wujud."

"Saya akan mempunyai beberapa pembantu jurulatih, beberapa jurulatih kecergasan, dan dalam struktur yang baru tersebut akan ada specialist dalam setiap bidang yang berkait rapat dengan persembahan pasukan. Dalam erti kata mudah, saya tidak akan mempunyai pembantu pengurus seperti sebelum ini."

Rui Faria yang berkhidmat dengan Mourinho selama 17 tahun mengumumkan pada minggu lalu beliau akan meninggalkan Manchester United hujung musim ini bagi memulakan kariernya sebagai pengurus bolasepak.

"Selepas mengambil kira banyak perkara, dengan berat hatinya, saya telah mengambil keputusan masanya telah tiba bagi saya untuk membawa haluan sendiri."

Carrick melakukan penampilan terakhirnya ketika United menewaskan Watford 1-0 semalam

"Saya mengharungi 17 tahun yang menakjubkan dan tidak akan dapat dilupakan bersama Jose Mourinho. Walaubagaimanapun, saya akan meluangkan sedikit waktu bersama keluarga terlebih dahulu sebelum meneruskan cabaran baru dalam karier profesional."

"Saya dengan ini ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengurus, Jose Mourinho kerana mempercayai kebolehan saya sejak kami mula bekerjasama belasan tahun dahulu, yang mana ketika itu hanya impian bagi seorang pelajar."

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana memberikan saya peluang dan keyakinan, pengalaman dan ilmu, dan paling penting jalinan persahabatan yang terbina di antara kami berdua."

Dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris terakhir semalam, pemain tengah Michael Carrick melakukan penampilan terakhirnya sebagai pemain profesional. Beliau akan menyertai barisan kejurulatihan Manchester United secara tetap selepas ini dan Mourinho percaya Carrick berpotensi untuk menjadi pembantu beliau pada masa hadapan.

Mourinho nampak potensi yang ada dalam diri Carrick untuk menjadi pembantu beliau pada masa hadapan

"Saya rasa posisi pembantu pengurus akan diisi oleh Michael Carrick pada masa hadapan, apabila beliau mempunyai lencana kejurulatihan, lesen profesional dan selepas selesai melakukan transformasi dari seorang pemain ke pembantu pengurus."

"Ramai ingat hari ini anda seorang pemain, dan keesokan harinya anda boleh menjadi seorang jurulatih. Tetapi bolasepak bukan seperti itu."

"Tiada siapa dalam dunia bolasepak sekarang mampu menjadi pembantu saya. Jadi saya lebih gemar untuk memberi tunjuk ajar kepada staff saya dan merombak struktur kejurulatihan dimana sesi pembelajaran dan penambahbaikan akan berlaku."

"Sebaik sahaja Carrick memiliki lesen profesional, jika dilihat kepada personaliti dan kejujuran beliau, saya rasa posisi pembantu pengurus bakal diisi belliau pada masa depan."




Paparkan Komen