Mourinho: Tiada Yang Mustahil Buat Portugal Dengan Adanya Ronaldo

Izuddin oleh Izuddin 2 minggu yang lalu

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho percaya Portugal mempunyai keupayaan untuk menjulang trofi Piala Dunia 2018 dengan adanya Cristiano Ronaldo dalam pasukan tersebut.

Harapan seluruh rakyat Portugal sudah tentu terletak di bahu pemenang Ballon d'Or sebanyak 5 kali, Cristiano Ronaldo untuk memimpin negara tersebut menjulang satu lagi trofi di peringkat antarabangsa musim panas nanti.

With Ronaldo, anything is possible !

Ronaldo berjaya memimpin Portugal menjuarai Euro 2016 yang diadakan di Perancis dua tahun lepas. Pencapaian Portugal menjadi lebih manis apabila mereka berjaya menidakkan harapan peminat tuan rumah dalam perlawanan akhir kejohanan tersebut, hasil jaringan tunggal Eder pada waktu tambahan.

Mourinho juga percaya bintang Barcelona, Lionel Messi memainkan peranan yang sama untuk Argentina dengan kedua-dua pemain tersebut berada dalam tekanan untuk mempamerkan prestasi yang cemerlang bersama negara masing-masing.

"Portugal mempunyai skuad yang agak menarik. Tanpa Cristiano Ronaldo, mustahil bagi Portugal untuk memenangi Piala Dunia. Tetapi dengan kehadiran beliau, apa sahaja boleh berlaku." Ujar Mourinho ketika ditemuramah ESPN Brazil.

Bekas pengurus Real Madrid dan Chelsea itu berpendapat Argentina merupakan calon utama untuk memenangi kejohanan bolasepak paling berprestij tersebut sejak tahun 1986 kerana mereka memiliki pemain sehebat Lionel Messi.

Ronaldo dijangka mencium trofi Piala Dunia sekiranya kekal cergas

"Saya percaya pasukan kebangsaan Argentina tanpa kelibat Lionel Messi bukanlah pasukan yang akan mencabar trofi Piala Dunia. Tetapi dengan kehadiran Lionel Messi dalam skuad Argentina, mereka merupakan salah satu calon utama untuk memenangi kejohanan tersebut."

Argentina bergelut untuk melayakkan diri ke Russia dan mereka memerlukan jaringan hatrick daripada Messi dalam perlawanan terakhir pusingan kelayakan menentang Ecuador sebelum mengesahkan tempat mereka ke Piala Dunia 2018.

Mourinho turut diminta memberikan pendapat mengenai pasukan manakah yang memiliki kekuatan dari segi keseluruhan skuad.

"Saya amat meminati struktur yang dimiliki Brazil. Mereka mempunyai taktik dan mentaliti yang bagus. Brazil memiliki gabungan yang baik di antara bakat semulajadi dan corak permainan yang serius, fizikal dan taktikal."

"Mereka juga memiliki barisan pertahanan yang baik dan hanya melepaskan beberapa gol sahaja sepanjang pusingan kelayakan. Di bahagian depan pula mereka memiliki pemain hebat seperti Neymar, Willian, Philippe Coutinho, dan Gabriel Jesus... semua pemain mereka memiliki kualiti yang hebat."

Mourinho percaya Sepanyol is back !

"Selain itu kita juga akan melihat kekuatan pasukan tradisional dari benua Eropah. Tetapi saya percaya skuad Sepanyol kali ini akan menjadi skuad hebat seperti dahulu. Mereka berjaya mengumpul pemain yang berkongsi filosofi bolasepak yang sama dan mampu menyesuaikan diri dengan corak permainan Sepanyol."

"Pada pendapat saya, Sepanyol berada dalam kedudukan yang lebih baik berbanding pasukan Eropah yang lain. Kita akan lihat nanti."

"Piala Dunia kali ini bakal menjadi Piala Dunia yang menarik buat saya. Saya akan berada di Russia selama seminggu untuk mengikuti perlawanan dan selepas itu saya akan bercuti."




Paparkan Komen