Mourinho Sangkal Dakwaan Rashford Kurang Diberikan Peluang Bermain Di Bawah Beliau

Izuddin oleh Izuddin 1 minggu yang lalu

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho menyangkal dakwaan beliau memberi layanan yang buruk kepada Marcus Rashford, dan mendakwa pemain muda itu sebenarnya mempunyai 'minit perlawanan' yang sangat tinggi sepanjang beraksi di bawah Mourinho.

Mourinho menerima kritikan dari pelbagai pihak kerana gagal meletakkan Rashford secara kerap dalam kesebelasan utama Manchester United musim ini. Rashford hanya diletakkan dalam kesebelasan utama sekali sahaja setakat musim ini dan hanya bermain 122 minit secara keseluruhan selepas mengharungi empat perlawanan liga.

Mourinho menyangkal dakwaan Rashford kurang bermain dengan memberikan statistik yang mampu membuatkan anda terkejut

Situasi Rashford juga tidak akan menjadi lebih baik dalam masa terdekat ini memandangkan beliau kini sedang menjalani penggantungan tiga perlawanan selepas menerima kad merah kerana 'menanduk' pemain Burnley, Phil Bardsley.

Nasib Rashford nyata berbeza apabila bermain dengan England. Beliau mendapat kepercayaan Gareth Southgate untuk berada dalam kesebelasan utama dalam semua perlawanan England sepanjang dua minggu ini. Beliau menjaringkan gol tunggal England ketika tumpas 2-1 di tangan Sepanyol dalam aksi pembukaan UEFA Nations League.

Dalam aksi persahabatan menentang Switzerland, Rashford muncul hero buat negaranya apabila sekali lagi menjaringkan gol buat England dalam kemenangan 1-0 ke atas Switzerland.

Bekas pemain Liverpool dan England, Jamie Carragher mendakwa Rashford perlu meninggalkan Manchester United jika beliau mahu merealisasikan potensi sebenar yang ada dalam diri beliau.

Penghuni setia seat Chevrolet Old Trafford musim ini

Namun begitu, Mourinho tidak bersetuju dengan pendapat sesetengah pihak yang mengkritik beliau tidak pandai menguruskan Rashford.

Dalam sidang media menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris menentang Watford hujung minggu ini, Mourinho memberikan beberapa statistik mengenai waktu permainan Rashford sepanjang beraksi di bawah beliau.

"Pada musim 2016/2017, Marcus Rashford telah bermain sebanyak 32 perlawanan, 11 perlawanan Europa League termasuk perlawanan akhir, 3 perlawanan Piala FA, 6 perlawanan Piala Liga. Secara keseluruhannya, beliau telah melakukan 53 penampilan."

"Jika anda ingin melihat dari segi minit permainan, Rashford telah bermain selama 3,068 minit. Jika anda bahagikan jumlah tersebut dengan 90 minit, Rashford telah bermain sebanyak 34.2 perlwanan."

"Pada musim 2017/2018 pula, beliau bermain 35 perlawanan Liga Perdana Inggeris, 8 perlawanan Liga Juara-Juara Eropah, 5 perlawanan Piala FA termasuk aksi final, 3 perlawanan Piala Liga, dan turut beraksi dalam final European Super Cup."

"Secara keseluruhannya, beliau telah bermain sebanyak 52 perlawanan dan mempunyai 2,676 minit permainan.  Jika anda bahagikan jumlah tersebut dengan 90 minit, anda akan mendapati Rashford telah bermain sebanyak 29.7 perlawanan."

"Jadi sejak bermain di bawah saya selama dua musim, beliau telah melakukan 105 penampilan, 5744 minit permainan, termasuk beraksi dalam 5 perlawanan akhir. Jadi apabila ada pihak mempersoalkan kekurangan waktu permainan Rashford, mungkin mereka tu agak keliru."

From hero to zero. Rashford pulang ke Manchester United dengan tempatnya dalam pasukan utama tidak terjamin

Mourinho juga membandingkan pembangunan Rashford sebagai seorang pemain muda dengan bintang muda kelab besar lain.

"Marcus Rashford bukannya Dominic Solanke. Beliau juga bukan Ruben Loftus-Cheek. Beliau juga bukan Dominic Calvert-Lewein."

"Beliau adalah Marcus Rashford - pemain Manchester United yang mempunyai penampilan yang sangat banyak bersama pasukan utama di peringkat tertinggi dalam pertandingan yang terbaik."




Paparkan Komen