Mourinho Buat Hal Lagi, Kali Ini Enggan Dedahkan Berita Terkini Pasukan Kepada MUTV

Izuddin oleh Izuddin 6 hari yang lalu

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mengejutkan banyak pihak apabila enggan mendedahkan maklumat mengenai pasukannya apabila diajukan soalan tersebut dari stesen televisyen kelab, MUTV.

Seperti kebiasaan, MUTV akan mengajukan soalan kepada Mourinho bagi mengetahui perkembangan terkini skuad utama Red Devils menjelang pertemuan penting menentang Arsenal awal pagi esok.

Mourinho buat hal lagi. Kali ni dengan stesen TV kelab sendiri.

Namun begitu, buat pertama kali, Mourinho enggan melayan soalan mengenai perkembangan terkini pasukannya sambil mengakui beliau berdepan kesukaran untuk memilih kesebelasan utama bagi menentang Arsenal memandangkan banyak pemain utama bergelut dengan masala kecederaan.

Manchester United akan turun berdepan Arsenal bagi mencari kemenangan pertama dalam Liga Perdana Inggeris sejak 3 November. Mereka bakal berdepan tugas yang sukar memandangkan moral pemain Arsenal masih lagi tinggi berikutan kemenangan epik ke atas Tottenham dalam aksi North London Derby hujung minggu lalu.

Masalah kecederaan yang menghantui Red Devils ketika ini juga tidak banyak membantu Mourinho. Antara pemain pertahanan yang masih mengalami kecederaan adalah Victor Lindelof, Chris Smalling, dan Eric Bailly.

Apabila ditanya MUTV mengenai perkembangan terkini mengenai krisis kecederaan di bahagian pertahanan Manchester United, jawapan yang keluar dari mulut Mourinho agak mengejutkan.

"Saya tidak mahu memberikan update kepada kamu [MUTV]."

Mourinho berdepan kesukaran untuk memilih kesebelasan utama kerana ramai sangat pemain yang cedera

"Saya mahu Arsenal TV bertanyakan soalan yang sama kepada pengurus mereka tetapi mereka tidak melakukannya. Arsenal menyembunyikan segalanya yang berlaku di dalam kelab tersebut, jadi kenapa saya perlu menjawab soalan anda ?"

Manchester United bakal beraksi di tempat sendiri sebanyak dua kali dalam masa empat hari tetapi rekod mereka di tempat sendiri musim ini tidaklah terlalu baik. United hanya mampu mencatatkan 3 kemenangan dari 6 perlawanan Liga Perdana Inggeris yang diadakan di Old Trafford musim ini.

Selepas Arsenal, Fulham bakal berkunjung ke Old Trafford pada hari Sabtu nanti. Pertengahan miggu depan mereka bakal berkunjung ke Valencia dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah sebelum berhadapan dengan musuh tradisi, Liverpool beberapa hari selepas itu.

Lindelof dan Bailly antara pemain pertahanan utama yang cedera. Smalling, Jones, Valencia, dan Shaw juga mempunyai peluang yang samar untuk diturunkan kerana masih belum cergas sepenuhnya.

Memandangkan United bakal mengharungi jadual yang agak padat bulan ini, Mourinho mengakui beliau menghadapi kesukaran untuk memilih kesebelasan utama yang seimbang.

"Kami akan berdepan kesukaran sekali lagi untuk membina pasukan ini."

"Kami perlu mencari cara untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sukar ini bagi memberi sedikit keseimbangan dalam pasukan."

"Tetapi saya tetap percaya kami mempunyai semangat yang tinggi untuk berjuang mencari kemenangan."




Paparkan Komen