Moto2: Kontrak Romano Fenati Ditamatkan Serta Merta

Izuddin oleh Izuddin 10 bulan yang lalu

Kontrak Romano Fenati bersama pasukan Marinelli Snipers telah ditamatkan serta merta berikutan insiden yang berlaku dalam perlumbaan Moto2 di Misano semalam.

Fenati telah dirakam menekan brek motosikal yang ditunggang Stefano Manzi dan hampir menyebabkan pelumba tersebut hilang keseimbangan. Berikutan insiden itu, Fenati menerima 'bendera hitam' dan disingkirkan serta merta dari perlumbaan itu kerana menunggang dalam keadaan berbahaya.

Tiada lagi muka Romano Fenati dalam Moto2 musim ini. Padan muka

Pihak MotoGP juga telah menjatuhkan hukuman penggantungan sebanyak dua perlumbaan terhadap Fenati yang mana selepas ini beliau tidak akan bersaing dalam GP Aragorn dan GP Thailand.

Pihak MotoGP menganggap kesalahan yang dilakukan Fenati sebagai satu kesalahan yang amat serius dan perlu dihukum dengan sewajarnya. Penalti ini hanya berkuat kuasa kepada Fenati sahaja dan bukan kepada pasukan, dan pasukan Marinelli Snipers boleh mencari pengganti untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Fenati.

Walau bagaimanapun, masa depan Fenati bersama Marinelli Snipers dilihat sudah berakhir apabila pasukan tersebut baru sahaja mengumumkan penamatan kontrak serta merta Fenati. Berikut adalah kenyataan rasmi daripada pasukan Marinelli Snipers berhubung penamatan kontrak Fenati.

Aksi khianat Fenati yang boleh meragut dan membahayakan nyawa Manzi.

"Dengan ini kami ingin mengumumkan Marinelli Snipers Team telah menamatkan kontrak Romano Fenati dengan serta merta berikutan tindakan berbahaya beliau yang telah menjejaskan imej seluruh pasukan ini."

"Dengan penuh kekesalan, kami ingin memohon maaf atas tindakan pelumba kami yang hampir membahayakan nyawa pelumba lain."

"Bermula saat ini, Romano Fenati tidak akan menunggang motosikal bersama Marinelli Snipers Team lagi. Seluruh pasukan dan penaja yang sebelum ini memberikan sokongan kepada Fenati, juga ingin memohon maaf kepada seluruh peminat World Championship."

Fenati dan kontroversi bukanlah perkara yang baru. Fenati pernah dilihat sebagai penunggang yang mempunyai potensi besar tetapi masalah disiplin menyebabkan pasukan-pasukan besar enggan menandatanganinya.

Ketika beraksi dalam Moto3, beliau pernah menendang Nicklas Ajo sebelum menutup suis motor pelumba tersebut dalam satu sesi pemanas pada tahun 2015 di Argentina GP.

Beliau juga dilepaskan dari program Sky VR46 di bawah kendalian Valentino Rossi pada tahun 2016 selepas pasukan Moto3 beliau menggantungnya kerana masalah disiplin.

Kariernya kembali berada di jalan yang betul apabila Fenati menamatkan kempen Moto3 tahun lepas di tempat kedua, di belakang juara Joan Mir.

Walaubagaimanapun, Fenati telah menandatangani kontrak untuk terus beraksi dalam Moto2 musim depan bersama pasukan MV Agusta di bawah Forward. Menariknya, Forward merupakan pasukan Manzi musim ini dan tidak diketahui sama ada kedua-dua pelumba akan berlumba bersama musim hadapan.




Paparkan Komen