Mohamed Salah Sanggup Gadaikan Liga Juara-Juara Eropah Demi Kejuaraan Liga Perdana Inggeris

Izuddin oleh Izuddin 2 bulan yang lalu

Penyerang Liverpool, Mohamed Salah berkata beliau bersedia melupakan seketika niatnya untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah sekiranya ia dapat membantu Liverpool memenangi Liga Perdana Inggeris musim ini.

Liverpool bakal menghadapi Bayern Munich awal pagi Khamis nanti dalam perlawanan timbal balik pusingan 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara Eropah. Kedua-dua pasukan masih mempunyai peluang yang seimbang untuk layak selepas pertemuan di Anfield tempoh hari berakhir dengan tanpa jaringan.

Liverpool berdepan tugas sukar untuk mara ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah selepas sekadar seri tanpa jaringan di Anfield tempoh hari.

Di peringkat domestik pula, Liverpool mengalami sedikit penurunan dari segi prestasi sehingga menyebabkan Manchester City berjaya memintas mereka untuk berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan 1 mata ke atas The Reds.

Dengan saingan liga berbaki 8 perlawanan sahaja lagi, setiap perlawanan dianggap seperti 'final' dan sedikit kesilapan mampu memberi padah terhadap peluang untuk menjulang trofi paling berprestij di England itu.

Bagi Salah pula, beliau menganggap Liga Juara-Juara Eropah sebagai kejohanan paling berprestij dan adalah impiannya untuk menjulang trofi tersebut suatu hari nanti.

Namun dalam situasi sekarang yang mana Liverpool hanya ketinggalan 1 mata di belakang pendahulu, Salah berkata beliau sanggup melupakan seketika impiannya untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah jika ia dapat membantu Liverpool menjulang trofi yang belum pernah dimenangi mereka selama ini.

Demi impian rakyat jelata Anfield, Salah sanggup menggadaikan Liga Juara-Juara Eropah untuk trofi EPL yang ori (bukan seperti dalam gambar)

"Saya akan berlaku jujur kepada anda semua. Kejohanan paling berprestij bagi saya adalah Liga Juara-Juara Eropah."

"Tetapi impian seluruh bandar dan kelab ini adalah Liga Perdana Inggeris."

"Jadi, saya sanggup menggadaikan impian saya demi impian mereka. Tetapi jika kami berjaya memenangi kedua-dua, ia bakal menjadi perkara yang hebat dan itulah yang cuba kami lakukan sekarang."

Pemain antarabangsa Egypt itu juga menaruh harapan untuk melihat Manchester City keciciran mata dan berkata Liverpool akan mengambil kesempatan jika ia berlaku.

"Saingan di sini agak sengit dan kami juga bakal mengharungi beberapa perlawanan yang sukar sama seperti mereka."

"Apa yang kami mampu lakukan sekarang adalah dengan memenangi kesemua perlawanan dan berharap Manchester City gagal memenangi satu perlawanan supaya kami dapat menjuarai Liga Perdana Inggeris."

Malam yang tidak akan dilupakan Salah sepanjang kariernya. Kecederan Salah dan kesilapan Karius menjadi punca Liverpool tewas kepada Real Madrid dalam perlawanan akhir UCL musim lalu. 

"Minda saya masih lagi tajam walaupun berdepan tekanan. Dari segi mental, saya agak kuat kami perlu terus bekerja keras."

"Kami akan lihat apa yang kami mampu lakukan pada penghujung musim nanti tetapi dari segi mental, saya sudah bersedia untuk menghadapi segala-galanya."




Paparkan Komen