MFL Beri Penjelasan Mengenai Isu Peraturan Gol Tempat Lawan

Encik Bakri oleh Encik Bakri 1 bulan yang lalu

Separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Pahang dan Kedah boleh dikatakan perlawanan separuh akhir paling epik, dramatik, menghiburkan dan antara yang terbaik dalam sejarah Piala Malaysia.

Pada separuh pertama di stadium Darul Aman, aksi kebangkitan telah ditunjukkan oleh Kedah untuk mengikat kedudukan 3-3 dan Pahang membawa bekalan gol tempat lawan untuk perlawanan kedua.

Aksi kejar-mengejar yang epik di Stadium Darul Makmur menyaksikan Kedah berjaya memadamkan kelebihan gol tempat lawan yang dimiliki Pahang apabila berjaya mengikat perlawanan 3-3.

Dengan kedudukan agregat 6-6 perlawanan di bawa ke masa tambahan selama 30 minit untuk ditentukan pemenang. Kegilaan berterusan di masa tambahan dengan 4 gol terhasil.

Akhirnya Kedah ke final dengan peraturan gol tempat lawan dan ramai pertikaikan kemaraan Kedah kerana bagi mereka gol tempat lawan tidak boleh digunapakai untuk masa tambahan.

Mereka pun mengkaji peraturan yang digunakan AFC dalam kejohanan ACL, lalu memuat naik keratan peraturan itu ke media sosial.

Bagi meleraikan kekusutan ini Malaysian Football League (MFL) sebagai pihak yang mengendalikan kejohanan Piala Malaysia tampil memberi penjelasan.

Berikut merupakan kenyataan penuh MFL berkenaan isu ini.

Malaysian Football League(MFL) di sini ingin menjelaskan berhubung peraturan jaringan di tempat lawan yang diguna pakai dalam saingan Piala Malaysia.

Pihak MFL sedia maklum berlakunya kekeliruan oleh sesetengah pihak berhubung peraturan ini susulan kemenangan Kedah menerusi agregat 8-8 ke atas Pahang pada separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur semalam.

Pada perlawanan separuh akhir kedua itu, kedua-dua pasukan terikat 5-5 selepas beraksi selama 120 minit permainan termasuk 30 minit masa tambahan.

Untuk makluman semua, berdasarkan Peraturan Pertandingan Liga Malaysia di bawah artikel 6.4, Dalam Pertandingan Kalah Mati (2) pusingan atau Perlawanan Akhir yang diadakan secara timbal balik, maka penentuan Pasukan Pemenang atau Pasukan Teratas selepas keputusan penuh masa Perlawanan Pusingan Kedua hendaklah mengikut susunan hirarki seperti berikut:-

a) Pasukan yang mendapat jumlah mata terbanyak; jika sama,
b) Pasukan yang mempunyai jumlah perbezaan gol terbanyak; jika sama,
c) Pasukan yang mempunyai jumlah jaringan gol terbanyak; dan jika sama,
d) Jaringan gol di venue pihak lawan dikira berganda; jika sama,
e) Keputusan Perlawanan masa tambahan; jika seri;
f) Jaringan gol di venue pihak lawan selepas masa penuh tambahan dikira berganda; jika sama,
g) Pasukan yang menang sepakan dari tanda penalti mengikut Undang-Undang FIFA.

MFL selaku badan penganjur pertandingan bertanggungjawab dalam menetapkan sesuatu peraturan berdasarkan FIFA law of the games dan FIFA rules & regulation.

Ini bukan peraturan baharu yang dikuatkuasakan kerana ia sudah diguna pakai sejak 2010 termasuk membabitkan perlawanan Piala FA dan Challenge Cup.

Perkara ini juga telah dimaklumkan kepada setiap pasukan yang bertanding pada Mesyuarat Koordinasi Perlawanan pada pagi hari perlawanan yang turut dihadiri pegawai dan jurulatih kedua-dua pasukan.

Justeru pihak MFL berharap penjelasan ini dapat menjawab segala kekeliruan yang timbul dan berterima kasih kepada semua penyokong yang memberikan sokongan kepada semua pasukan bertanding dalam kempen Piala Malaysia 2019.

Di kesempatan ini juga MFL ingin mengucapkan tahniah kepada Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada 2 November ini.



Paparkan Komen