Manchester United Berminat Dapatkan Lucas Moura Dari PSG

Izuddin oleh Izuddin 5 hari yang lalu

Manchester United merupakan antara kelab yang sangat berminat untuk mendapatkan khidmat pemain sayap Paris Saint-Germain, Lucas Moura.

Moura semakin disisihkan PSG musim ini dan ejen pemain itu sedang berusaha keras untuk membolehkan pemain ini menyertai salah sebuah kelab 'Top 4' di Liga Perdana Inggeris.

Perlu keluar dari PSG bagi meningkatkan peluangnya dipilih bermain dalam Piala Dunia

Terdapat juga minat dari kelab Perancis, Nantes tetapi Moura beranggapan beliau perlu menyertai kelab yang berstatus lebih besar dengan United mungkin menjadi destinasi paling sesuai.

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mahu seorang pemain sayap kanan sejak musim panas dulu lagi untuk memperkuatkan pasukannya. Sasaran utama Mourinho ketika itu, Ivan Perisic menolak tawaran United untuk terus kekal di Itali bersama Inter Milan.

Mourinho dilaporkan berminat untuk mendapatkan Moura bagi mengisi posisi sayap kanan walaupun pemain ini mempunyai gaya permainan yang berbeza dari Perisic. Selain posisi sayap, Mourinho juga mahu membawa masuk seorang pemain bek kiri pada jendela perpindahan bulan ini dengan pemain Spurs, Danny Rose atau pemain Juventus, Alex Sandro menjadi calon utama.

Moura belum lagi diturunkan dalam kesebelasan utama bagi mana-mana perlawanan Ligue 1 musim ini

Bekas pengurus Real Madrid dan Chelsea ini percaya Moura lebih senang untuk diperolehi memandangkan PSG sendiri telah meletakkan pemain ini dalam senarai pemain yang ingin dilepaskan. United mahu meminjam pemain ini terlebih dahulu sehingga hujung musim nanti dan jika menyerlah, mereka akan membayar €15 juta untuk menjadikan perpindahan ini tetap.

Selain senang untuk diperolehi, Moura juga masih belum bermain dalam Liga Juara-Juara musim ini dan boleh beraksi dalam pertandingan tersebut andainya beliau menyertai United.

Ini bukan kali pertama United berminat untuk mendapatkan khidmat Moura. Sir Alex Ferguson pada tahun 2012 pernah cuba membawa masuk pemain ini ke Old Trafford tetapi gagal kerana PSG menawarkan harga yang lebih tinggi dari apa yang ditawarkan United.

Walaubagaimanapun sehingga saat ini, sumber Skysports melaporkan tiada sebarang bidaan telah dilakukan United terhadap Moura tetapi mereka masih mengekalkan minat terhadap pemain ini.

Selain Moura, PSG juga sedang berusaha untuk mencari pembeli yang sesuai bagi Angel Di Maria dan Javier Pastore. Penjualan pemain-pemain ini perlu dilakukan kerana PSG perlu patuh dengan peraturan 'Financial Fair Play' yang ditetapkan oleh UEFA.




Paparkan Komen