Liverpool Mahu Urusan Perpindahan Nabil Fekir Diselesaikan Sebelum Piala Dunia Bermula

Izuddin oleh Izuddin 1 minggu yang lalu

Liverpool sedang berusaha keras untuk memuktamadkan perpindahan pemain tengah Olympique Lyon, Nabil Fekir sebelum pemain tersebut berangkat ke Russia untuk menghadapi Piala Dunia.

Menurut sumber Sky Sports, Liverpool mahu menyelesaikan urusan perpindahan secepat mungkin bagi membolehkan Nabil fokus dengan tugasannya bersama skuad kebangsaan Perancis.

Kata putus masih belum dicapai di antara dua pihak tetapi Liverpool menjangkakan mereka mampu memeterai perjanjian dengan Lyon sebelum hujung minggu ini.

Liverpool akan berbelanja besar sekali lagi dengan membawa masuk Nabil Ahmad ke Anfield, selepas baru sahaja menandatangani Fabinho dari Monaco

Perancis bakal bertemu Amerika Syarikat dalam perlawanan pemanas badan terakhir mereka Sabtu ini sebelum bertolak ke Russia selepas itu.

Presiden Lyon, Jean-Michel Aulas telah mengeluarkan kenyataan yang kelabnya tidak akan menandatangani sebarang perjanjian sebelum Piala Dunia dan mendakwa perbincangan di antara Liverpool dan Lyon kini tergantung.

"Tiada apa yang telah berlaku. Segala urusan perpindahan tidak akan diselesaikan sebelum Piala Dunia bermula dan saya tidak rasa keadaan akan berubah dalam masa terdekat ini."

"Kami masih belum menetapkan harga permulaan kerana Lyon dan Liverpool belum berbincang apa-apa." Ujar Aulas kepada laman web rasmi Lyon semalam.

Walaubagaimanapun, Presiden Lyon Jean Michel Aulas tidak mahu tergesa-gesa dan mahu menunggu selepas Piala Dunia selesai. Strategi biasa untuk meningkatkan lagi nilai jualan

Sebelum ini, ejen kepada Nabil Fekir mendakwa Liverpool sangat berminat untuk mendapatkan pemain tengah tersebut tetapi memberi amaran masih banyak perkara yang belum dibincangkan di antara dua buah kelab yang terlibat.

"Perbincangan dengan Liverpool hanya akan berlaku sekiranya terdapat persetujuan dengan Lyon dan Jean-Michel Aulas memberi lampu hijau untuk berbincang." Ujar ejen Nabil Fekir, Jean-Pierre Bernes kepada majalah Perancis, Le Pogres.

"Memang terdapat minat dari Liverpool terhadap Nabil Fekir, tetapi buat masa sekarang tiada sebarang perjanjian yang telah berlaku. Jendela perpindahan masih lagi panjang dan mungkin akan ada kelab lain yang akan menunjukkan minat yang sama."

Nabil Fekir dijangka berada dalam kesebelasan utama Perancis di Russia nanti

Fekir mengharungi musim yang cemerlang bersama Lyon musim lepas dimana beliau berjaya menjaringkan 21 gol dan mencatatkan 9 assists dalam 39 perlawanan.

Prestasi Nabil yang cemerlang menyebabkan namanya berada dalam skuad 23 pemain Perancis yang akan berangkat ke Russia tidak lama lagi bagi menghadapi Piala Dunia.

Selepas mengalami kekecewaan dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah bulan lepas, Liverpool telah bertindak cepat bagi memperkuatkan skuad mereka dengan pemain tengah Monaco, Fabinho bakal menyertai Liverpool dalam perjanjian bernilai £43.7 juta.

Selain Fabinho, pemain yang dibeli musim lepas dari RB Leipzig, Naby Keita akan tiba musim panas ini bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Emre Can yang telah berhijrah ke Juventus.




Paparkan Komen