Lesen Memandu Lloris Digantung 20 Bulan Kerana Memandu Dalam Keadaan Mabuk

Izuddin oleh Izuddin 2 bulan yang lalu

Penjaga gol Tottenham Hotspurs, Hugo Lloris mengaku bersalah atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk dan bakal menerima denda berjumlah£50,000 selain lesen memandunya digantung selama 20 bulan.

Kapten Perancis itu ditahan polis selepas beliau memandu dalam keadaan yang mencurigakan. Pemeriksaan lebih lanjut mendapati Lloris memandu dalam pengaruh alkohol dan beliau ditahan polis serta merta. Polis juga mendapati kandungan alkohol dalam nafas Lloris adalah dua kali ganda dari jumlah yang dibenarkan.

Lloris tiba di mahkamah untuk mendengar hukuman yang dibacakan terhadapnya

Lloris hadir ke Westminster Magistrates' Court hari ini untuk mendengar hukuman yang dibacakan kepadanya berikutan insiden yang berlaku pada 24 Ogos lalu.

Pihak mahkamah telah diberitahu Lloris telah memberikan sampel ujian alkohol kepada polis yang mana ia mengandungi 80 micrograms alkohol dari 100 mililitres nafasnya. Jumlah alkohol tersebut adalah dua kali ganda melebihi dari jumlah yang dibenarkan di England dan Wales.

Dalam kejadian yang berlaku pada 24 Ogos lalu, sebuah kereta polis telah melihat kereta Porsche Panamera yang dipandu Lloris melanggar lampu isyarat merah pada kejadian yang berlaku pada awal pagi.

Porsche Panamera milik Lloris. Tepi tu bini dia, otw nak g breakfast nasi kerabu

Pihak pendakwa raya juga memberitahu Lloris memandu keretanya dengan sangat perlahan dan hampir melanggar kereta lain yang berada di kawasan parking berhampiran sebelum membetulkan kembali stereng keretanya.

Polis juga mendapati terdapat muntah dalam kereta Lloris, dipercayai muntah daripada pemain tersebut kesan daripada terlampau mabuk. Lloris juga memerlukan bantuan daripada pegawai polis yang menahannya untuk keluar dari kereta tersebut ketika kejadian.

Peguam yang mewakili Lloris, David Sonn berkata anak guamnya baru sahaja menjamah makan malam di sebuah restoren ketika kejadian itu berlaku.

"Pada 15 Julai, mungkin Lloris lah orang paling bangga di atas muka Bumi ini [selepas Perancis menjulang trofi Piala Dunia]." Ujar Sonn kepada mahkamah.

"40 hari kemudian, beliau ditahan polis. Beliau merasai pengalaman tangannya di gari dan terpaksa tidur di dalam lokap."

Lloris telah memohon maaf atas insiden tersebut dan mengakui kelakuannya merupakan sesuatu yang tidak dapat diterima selaku pemain bola sepak profesional.

"Saya ingin memohon maaf kepada keluarga, Tottenham Hotspurs, rakan sepasukan, pengurus, dan seluruh peminat."

Lloris berada di persada dunia apabila menjulang trofi Piala Dunia sebagai kapten Perancis. Namun tidak lama selepas itu beliau ditahan polis dan disumbat ke dalam lokap.

"Saya mengaku bertanggungjawab atas segala tindakan saya dan tindakan ini bukanlah satu contoh yang baik untuk diikuti."

Jurucakap Tottenham Hotspurs memandang serius perkara ini dan Lloris mungkin dikenakan hukuman dari pihak kelab berikutan kesalahan tersebut.

"Pihak kelab memandang serius perkara ini dan tindakan susulan bakal diambil secara dalaman."

Tottenham akan menyambung aksi Liga Perdana Inggeris dengan melayan kunjungan Liverpool di Stadium Wembley hujung minggu ini. Spurs kini menduduki tangga ke-5 liga selepas mencatatkan 3 kemenangan dan 1 kekalahan dengan mengumpul 9 mata.




Paparkan Komen