Leicester Tolak Tawaran Manchester United Berjumlah £70 Juta Untuk Dapatkan Maguire

Izuddin oleh Izuddin 4 bulan yang lalu

Juara Liga Perdana Inggeris musim 2015/2016, Leicester City dilaporkan telah menolak tawaran berjumlah £70 juta yang dilancarkan Manchester United terhadap pemain pertahanan England, Harry Maguire.

Menurut sumber Sky Sports, perbincangan sebenarnya telah berjalan berminggu-minggu lamanya bagi mencari kata sepakat bagi membolehkan Maguire berpindah ke Manchester United musim hadapan.

Perang bidaan kini bermula. United membuat langkah pertama dengan bidaan £70 juta tetapi belum cukup untuk membuka pintu hati Leicester

Selain Manchester United, Maguire turut menjadi pilihan utama Manchester City untuk menggantikan kekosongan yang ditinggalkan bekas kapten, Vincent Kompany yang kembali merumput di negara kelahirannya, Belgium.

Dua minggu sebelum ini, kedua-dua kelab Manchester itu dilaporkan telah menghantar bidaan berjumlah £65 juta terhadap Maguire tetapi dengan cepat ditolak Leicester.

Leicester menyatakan dengan jelas pendirian mereka untuk tidak akan melepaskan Maguire pada lingkungan harga berkenaan selepas melihat Manchester United membayar £50 juta kepada Crystal Palace untuk mendapatkan khidmat pemain muda England, Aaron Wan-Bissaka.

Leicester beranggapan kualiti dan pengalaman yang dimiliki oleh Maguire jauh lebih baik dari Bissaka, justeru itu harga bekas pemain Hull City ini sepatutnya jauh lebih tinggi dari apa yang dibayar United untuk Bissaka.

Selepas Bissaka, Solskjaer semakin bernafsu untuk berbelanja besar bagi memperbaiki barisan pertahanan United

Pemilik Leicester yang juga bilionaire dari Thailand, Aiyawatt Srivaddhanaprabha menganggap Maguire sebagai pemain penting dalam skuad Leicester dan tidak berada dalam tekanan kewangan untuk menjual Maguire pada ketika ini.

Ditambah pula Maguire masih mempunyai baki kontrak selama 4 tahun, bermakna kelab yang berminat perlu membayar harga maksimum bagi mendapatkan Maguire.

Peluang United untuk menandatangani Maguire juga sebenarnya bergantung kepada keputusan yang akan diambil pemain pertahanan Argentina, Nicholas Otamendi. Otamendi dilaporkan ingin menyertai Atletico Madrid musim panas ini tetapi mungkin akan kekal berikutan pengunduran Kompany dari skuad The Citizens.

Adakah Maguire bakal menjadi pemain pertahanan termahal dunia ?

Bagi Maguire pula, pemain tersebut masih lagi gembira untuk bermain dengan Leicester dan tidak akan memberontak untuk meninggalkan kelab tersebut. Walaupun gembira, Maguire masih menaruh minat untuk bermain dengan mana-mana kelab 'Big 6' dalam Liga Perdana Inggeris.

Pendirian Leicester ketika ini adalah kelab yang berminat perlu membayar yuran perpindahan rekod dunia bagi pemain pertahanan dimana rekod itu kini dipegang oleh pemain pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk pada harga £75 juta.



Paparkan Komen