Lagenda Liverpool Akui Van Dijk Masih Di Belakang Messi Dalam Perebutan Ballon d'Or

Izuddin oleh Izuddin 3 bulan yang lalu

Bekas pemain Liverpool yang juga pengulas bola sepak tersohor, Jamie Carragher berpendapat Lionel Messi merupakan calon pilihan untuk memenangi anugerah Ballon d'Or bagi tahun 2019, di hadapan pemain pertahanan termahal dunia, Virgil van Dijk.

Virgil van Dijk melalui musim yang amat cemerlang dimana beliau berjaya membantu Liverpool menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah buat kali ke-6 selain menduduki tangga ke-2 Liga Perdana Inggeris, hanya 1 mata dipisahkan dengan Manchester City.

Carragher percaya Messi yang akan menggondol anugerah Ballon d'Or 2019, bukan Van Dijk.

Di peringkat antarabangsa pula, Van Dijk memimpin Netherlands mara sehingga final UEFA Nations League sebelum dikecewakan Portugal dalam perlawanan akhir yang berlangsung awal pagi tadi.

Berikutan beberapa persembahan Van Dijk yang mengagumkan musim ini, terdapat desakan daripada segelintir pihak yang mahu melihat kapten Netherlands ini memenangi anugerah individu paling berprestij dalam bola sepak iaitu Ballon d'Or.

Namun begitu, pemenang Ballon d'Or sebanyak 5 kali, Lionel Messi turut melalui musim yang luar biasa dimana beliau berjaya muncul pemenang kasut Emas Eropah disamping membantu Barcelona mengekalkan kejuaraan La Liga.

Disebabkan perkara tersebut, Carragher berkata beliau akan meletakkan duit ke atas Messi untuk memenangi anugerah tersebut walaupun Van Dijk turut melalui musim yang cemerlang.

Messi menerima kasut emas Eropah selepas menjaringkan 36 gol musim ini

"Saya melihat Van Dijk kini berada di hadapan Messi dalam pertaruhan [judi]." Ujar Carragher kepada Sky Sports.

"Secara jujurnya, saya rasa Messi yang akan menang... sangat jarang untuk kita melihat pemain pertahanan tengah memenangi anugerah tersebut."

"Saya rasa Cannavaro pernah memenanginya selepas membantu Itali muncul juara Piala Dunia 2006."

"Sudah tentu Van Dijk melalui musim yang cukup luar biasa tetapi beliau perlu memenangi sesuatu yang besar. Saya rasa kejayaan menjulang Liga Juara-Juara Eropah telah meletakkan nama Van Dijk sebaris dengan pemain terbaik dunia yang lain."

Cannavaro merupakan pemain pertahanan terakhir yang berjaya memenangi Ballon d'Or selepas membantu Itali muncul juara Piala Dunia, selain menjulang trofi Serie A bersama Juventus pada musim yang sama.

Hanya 3 pemain pertahanan sahaja yang pernah tersenarai dalam senarai akhir Top 3 sejak 2002. Roberto Carlos menduduki tempat ke-2 pada tahun 2002 manakala Paolo Maldini sekadar berada di tempat ke-3 pada tahun 2003.

Carragher turut merasakan kegagalan Van Dijk membantu Netherlands menjuarai UEFA Nations League mungkin akan mengakibatkan beliau terlepas peluang untuk memenangi Ballon d'Or tahun ini.

"Apabila kita bercakap pada awal musim dulu, kita sentiasa bercakap mengenai Sergio Ramos dan Gerard Pique yang bukan sentiasa bermain lebih baik daripada Van Dijk. Tetapi mereka ini mempunyai medal bersama kelab dan negara."

Kekalahan kepada Portugal mungkin akan menyebabkan Van Dijk terlepas peluang menggondol Ballon d'Or.

"Sebab itulah saya rasa Van Dijk kecewa dengan kekalahan ini. Mungkin ia bukan Piala Dunia atau Kejuaraan Eropah tetapi ia tetap satu trofi untuk koleksi negara anda."

"Apabila anda memenangi sesuatu yang besar, itulah saat anda memahat nama pada tahap tertinggi dan saya rasa Van Dijk adalah yang terbaik dalam posisinya. Beliau telah membuktikannya."

"Tetapi untuk Ballon d'Or, saya rasa Messi akan memenanginya."




Paparkan Komen