Kenali Rakan Khabib Berbaju Merah Yang Menyerang McGregor Di Dalam Octagon

Izuddin oleh Izuddin 1 minggu yang lalu

Antara salah satu detik yang paling memeranjatkan berlaku di UFC 229 adalah ketika seorang individu berbaju merah memanjat pagar Octagon  dan menyerang Conor McGregor dari belakang.

Ia merupakan serangan yang tidak patut dilakukan terhadap McGregor yang masih lagi keletihan selepas bertarung dalam 4 pusingan menentang Khabib Nurmagomedov.

Ramai menganggap ia sebagai satu tindakan pengecut

Kekecohan luar biasa tercetus di luar dan dalam Octagon selepas Khabib meluru keluar dari Octagon untuk menyerang rakan McGregor, Dilion Danis. Dilion merupakan seorang petarung yang beraksi di Bellator dan bertindak sebagai rakan 'sparring' jiu-jitsu bagi McGregor menjelang UFC 229.

Beberapa saat kemudian, muncul individu berbaju merah berseluar panjang memanjat pagar Octagon dan melontar beberapa tumbukan dari belakang ke arah McGregor yang masih lagi dalam keletihan.

Banyak pihak tidak berpuas hati dengan tindakan individu tersebut dan menganggap ia sebagai satu tindakan pengecut.

Individu tersebut adalah Zubaira Tukhugov, seorang petarung MMA yang berasal dari Russia. Tukhugov berketurunan Chechen dan pernah bertarung dalam kategori Featherweight bersama UFC.

Tukhugov yang kini berusia 27 tahun, dijadualkan bakal bertemu rakan baik McGregor, Artem Lobov tidak lama lagi. Beliau juga memuat naik satu video di media sosial untuk memberitahu punca sebenar beliau berbuat demikian.

"Saya menampar McGregor seperti yang dijanjikan. Saya berjanji untuk memastikan beliau menjawab apa yang pernah beliau buat sebelum ini."

Zubaira Tukhugov, rakan baik Khabib.

Tidak dapat dipastikan sama ada Tukhugov merupakan antara 3 individu yang ditahan polis tidak lama selepas itu. Tetapi kesemua mereka telah dibebaskan polis kerana McGregor enggan membuat sebarang dakwaan.

Tetapi apa yang pasti, Tukhugov boleh mengucapakan selamat tinggal kepada karier UFC beliau kerana berdasarkan kenyataan yang keluar dari mulut presiden UFC, Dana White berhubung kejadian tersebut.

Tiada lagi kelibat Tukhugov selepas ini dalam UFC menurut Dana White.

"Individu yang memanjat pagar tadi, tidak akan bertarung lagi dalam UFC.

"Saya berusaha keras untuk mempromosikan sukan ini. Ini bukan UFC yang sepatutnya anda lihat."




Paparkan Komen