Karius Ulangi Aksi Kelakar Dalam Perlawanan Pra-Musim Liverpool Menentang Tranmere

Izuddin oleh Izuddin 1 minggu yang lalu

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui persembahan Loris Karius akan terus menjadi fokus peminat selepas penjaga gol Liverpool itu melakukan satu lagi kesilapan ketika Liverpool menang 3-2 ke atas Tranmere kelmarin.

Dalam perlawanan pra musim tersebut, Karius gagal menangkap bola dengan kemas dari sepakan percuma pemain Tranmere. Bola tersebut jatuh bergolek di hadapan pintu gol Liverpool dan cepat disambar pemain Tranmere untuk jaringan pertama Tranmere.

Badi final UCL masih lagi melekat dengan Karius nampaknya

Nama Karius menjadi bualan banyak pihak selepas penjaga gol berasal dari Jerman ini bertanggungjawab melepaskan dua gol dari 3 gol yang dijaringkan Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lepas.

Liverpool tewas 3-1 di tangan Real Madrid dalam aksi final tersebut dan Karius menjadi sasaran kritikan peminat Liverpool yang mahu Klopp mendapatkan penjaga gol yang lebih berkualiti musim hadapan. Berikutan insiden tersebut, Klopp mengakui Karius akan terus menjadi fokus banyak pihak pada masa hadapan.

"Ya, Karius akan menerima kritikan daripada pelbagai pihak sehingga beliau berjaya bermain cemerlang dalam beberapa perlawanan. Itu situasi yang beliau akan lalui selepas ini. Kami tidak dapat ubah perkara tersebut."

"Tugas kami adalah untuk bermain dengan baik dan anda harus lakukan apa yang anda perlu buat. Ini asam garam pemain bola sepak."

"Ya, Karius mungkin boleh selamatkan percubaan tersebut walaupun sepakan tersebut bukan sesuatu yang mudah untuk diselamatkan."

"Saya telah melihat insiden yang sama berlaku di hadapan mata saya sebanyak 500 kali - 'Bam', bola terkena dada dan bergolek di atas padang."

Tak habis lagi ke nak mengutuk Karius ? 

"Mungkin Karius telah melepaskan gol tetapi kita tidak boleh membuka cerita setiap kali belia melakukan kesilapan. Kesilapan akan tetap berlaku."

"Saya tidak suka kesilapan, kamu pon tak suka, Karius pon tak suka, tapi ia tetap akan berlaku. Jadi kita mesti pandang ke hadapan dan belajar dari kesilapan ini supaya tidak berulang lagi pada masa hadapan."

"Tiada siapa yang suka melakukan kesilapan tetapi jika kita bercakap mengenai gol kedua Tranmere, ia sebenarnya kesilapan yang dilakukan oleh James Milner bersama dengan Pedro Chirivella."

"Dua pemain bola sepak terkenal melakukan kesilapan, tetapi yang mana satu lebih bersalah ? Pada pendapat saya, gol kedua lebih besar kesalahannya, tetapi tiada siapa yang mahu bercakap mengenainya."

Selepas Karius melepaskan gol pertama untuk Tranmere, pasukan tuan rumah semakin bersemangat untuk melancarkan serangan dan hasil kesilapan Milner dan Chirivella, Tranmere berjaya menjaringkan satu lagi gol untuk menjadikan kedudukan akhir perlawanan 3-2.

Sebelum itu, Liverpool mendahului perlawanan 3-0 hasil jaringan daripada Rafael Camacho, Sheyi Ojo dan Adam Lallana, yang melakukan penampilan pertamanya dalam aksi pra-musim Liverpool.

https://www.youtube.com/watch?v=BPHmbhG9ySY


Paparkan Komen