Jenas: Eden Hazard Terlalu Bagus Untuk Chelsea, Sudah Sampai Masa Untuk Berpindah

Izuddin oleh Izuddin 5 bulan yang lalu

Bekas pemain England dan Tottenham Hotspurs, Jermaine Jenas mendakwa Ede Hazard 'terlalu bagus' untuk beraksi dengan Chelsea dan menggesa pemain tersebut supaya berpindah.

Jenas yang juga pernah beraksi untuk Newcastle kini bekerja sebagai pengulas bola sepak bersama BBC. Beliau membuat dakwaan tersebut ketika mengulas perlawanan separuh akhir Piala Carabao yang menemukan Tottenham dan Chelsea.

Hazard perlu tinggalkan Chelsea kerana beliau terlalu bagus untuk Chelsea. Macam ayat drama tv3 pukul 7 je

Dalam perlawanan pertama di Wembley kelmarin, Chelsea tewas tipis 1-0 hasil jaringan penalti daripada penyerang England, Harry Kane. Sepakan penalti juga diperolehi dengan cara yang agak kontroversi dengan pengurus Chelsea, Maurizio Sarri mendakwa Kane berada dalam kedudukan offside sebelum menerima bola.

Walaupun kalah, seorang pemain Chelsea berjaya mencuri tumpuan dan pemain tersebut tidak lain dan tida bukan adalah Eden Hazard.

Jenas menggambarkan persembahan Hazard dalam perlawanan tersebut sebagai 'sukar dikawal', dan menggesa pemain tersebut mengambil langkah seterusnya dalam karier beliau dengan berpindah keluar dari Stamford Bridge.

Kontrak Hazard dilaporkan bakal tamat pada Jun 2020 dan pemain antarabangsa Belgium ini hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Sepanyol untuk menyertai Real Madrid.

Walaupun tewas, pemain Spurs bergelut untuk mengawal Hazard sepanjang perlawanan

"Saya rasa Hazard amat sukar untuk dikawal. Saya juga berkata dalam perlawanan tadi yang beliau terlalu bagus untuk bermain dengan Chelsea."

"Sudah tentu Chelsea adalah pasukan atasan tetapi saya rasa Hazard kini terlalu besar untuk kelab tersebut. Saya rasa beliau sudah terlalu besar untuk terus berada dalam kelab tersebut."

"Hazard perlu berpindah. Beliau berada satu tahap lebih tinggi dari pemain lain yang berada di sekelilingnya."

Sepanjang 7 musim beraksi untuk The Blues, Hazard telah memenangi Liga Perdana Inggeris sebanyak dua kali, selain Europa League, Piala Liga dan Piala FA.

Kecuali Liga Juara-Juara Eropah, Hazard telah memenangi kesemua piala yang beliau boleh perolehi sepanjang bermain di England.

Walaupun Chelsea memulakan kempen Liga Perdana Inggeris denga baik, segalanya seperti tidak kena buat skuad kendalian Sarri sejak kebelakangan ini dan pasukan itu kini berada di tempat ke-4 liga, semakin jauh ditinggalkan Liverpool dalam perebutan kejuaraan liga.

Jenas percaya kegagalan Chelsea mencari penyerang yang berkualiti telah menyekat perkembangan Hazard musim ini. Disebabkan kekurangan tersebut, Sarri terpaksa meletakkan Hazard sebagai penyerang tunggal ketika tewas di tangan Spurs kelmarin.

Last-last Hazard jadi lone striker. Ini lah yang berlaku apabila anda mempunyai Morata dan Giroud sebagai penyerang utama pasukan anda.

"Anda tidak akan dapat yang terbaik dari Hazard apabila meletakkannya bermain di bahagian tengah."

"Anda akan dapat yang terbaik dari Hazard apabila beliau bermain di sebelah kiri,  melakukan perkara yang beliau suka lakukan. Turun ke bahagian tengah, dan berlari ke arah pemain lawan. Itu adalah cara bagaimana beliau menjaringkan gol yang banyak musim ini."




Paparkan Komen