Inter Milan Bercadang Tukar Icardi Dengan Dybala

Izuddin oleh Izuddin 1 minggu yang lalu

Inter Milan dilaporkan sedang berkira-kira untuk melepaskan pemain berpengaruh mereka, Mauro Icardi pada jendela perpindahan musim panas ini dan telah mengenal pasti Paulo Dybala sebagai pengganti paling sesuai kepada Icardi.

Inter bercadang menggunakan Icardi dalam perjanjian pertukaran pemain dengan Dybala dan berharap Juventus dapat menerimanya dengan hati yang terbuka.

Dybala tukar dengan Icardi ? Sekufu tak ?

Menurut laporan daripada beberapa sumber, pengurus baru Inter Milan, Antonio Conte mahu Icardi meninggalkan San Siro secepat mungkin dan pendirian Conte turut disokong pihak atasan Inter yang juga mahu menjual Icardi kepada mana-mana kelab yang berminat.

Inter kini sedang menekan Juventus supaya menerima cadangan mereka mengenai perjanjian pertukaran pemain dengan Dybala memandangkan pasukan juara Itali itu tidak lagi terlalu bergantung kepada Dybala untuk mengetuai jentera serangan mereka.

Seperti semua sedia maklum, ketibaan Cristiano Ronaldo menyebabkan peluang bermain Dybala berkurangan dan beliau sering memanaskan bangku simpanan sahaja musim ini.

Ketibaan Ronaldo menjadikan masa depan Dybala malap

Pada musim 2017/2018 sebelum tibanya Ronaldo, Dybala berjaya menjaringkan 22 gol dalam Serie A. Akan tetapi, ketibaan Ronaldo menyebabkan Dybala terpaksa bermain lebih ke bawah dan ia menyebabkan pemain Argentina itu hanya mampu menjaringkan 5 gol sahaja dalam Serie A musim ini.

Walau bagaimanapun, Juventus masih lagi sayangkan Dybala dan melihat pemain itu sebagai pemain masa depan mereka selepas berakhirnya era Ronaldo. Ditambah pula, mereka juga masih belum melantik pengurus baru bagi menggantikan Massimiliano Allegri yang telah meninggalkan kelab tersebut.

Untuk rekod, Juventus cuba mendapatkan Icardi musim panas tahun lepas tetapi membatalkan niat mereka selepas berjaya mendapatkan tanda tangan Ronaldo.

Direktor Sukan Juventus, Fabio Paratici dilaporkan sudah menghubungi ejen merangkap isteri kepada Icardi untuk membincangkan mengenai perpindahan ke Juventus  musim panas ini.

Selain Juventus, AS Roma turut berminat untuk mendapatkan Icardi tetapi kegagalan Roma untuk bermain dalam Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan mungkin membantutkan usaha mereka.

Icardi turut menarik minat pasukan daripada England dan Sepanyol, tetapi pemain tersebut lebih berminat untuk terus kekal di Itali dan Juventus mungkin menjadi destinasi beliau yang seterusnya.

Italian bad boy

Sekiranya ada tawaran dari luar Itali tiba, kelab yang berminat perlu membayar €110 juta iaitu klausa pelepasan dalam kontrak Icardi, yang hanya tertakhluk kepada kelab luar Itali.

Bekas penyerang Sampdoria ini sering terbabi dengan pelbagai kontroversi sejak menyertai Inter Milan pada tahun 2013. Antaranya adalah insiden pergaduhan dengan rakan sepasukan selain dilucutkan dari memakai lilitan kapten pada awal tahun ini.

Icardi tidak bermain selama dua bulan selepas dilucutkan jawatan kapten pasukan. Namun begitu, beliau tetap mampu menyumbang 17 gol untuk Inter dalam seluruh pertandingan dan berjaya membantu Inter meraih slot untuk ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.




Paparkan Komen