Heynckes Beri Petunjuk Akan Terus Kekal Menjadi Pengurus Bayern Munich Musim Hadapan

Izuddin oleh Izuddin 3 bulan yang lalu

Pengurus Bayern Munich, Jupp Heynckes memberi gambaran yang beliau akan terus menjadi pengurus pasukan tersebut musim hadapan.

Heynckes berkata beliau mungkin akan menandatangani kontrak baru bersama Bayern musim panas ini untuk menguruskan pasukan tersebut musim hadapan, dimana kontrak sedia ada beliau bakal tamat hujung musim nanti.

Atuk ini pernah membantu Bayern menjuarai UCL, sesuatu yang gagal dilakukan Guardiola.

Beliau dibawa masuk pada awal musim bagi menggantikan tempat Carlo Ancelotti yang dipecat pada Oktober tahun lepas kerana prestasi tidak menentu yang ditunjukkan Bayern.

Kemuncaknya adalah ketika mereka tewas 3-0 kepada Paris Saint-Germain dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah dan ia menjadi perlawanan terakhir Ancelotti sebagai pengurus Bayern.

Ini merupakan kali ke-4 beliau dilantik menjadi pengurus Bayern Munich dan pengurus berpengalaman luas ini berjaya membantu pasukan tersebut menjuarai Liga Juara-Juara pada tahun 2013 dengan menewaskan seteru utama, Borussia Dortmund di Wembley.

Sabor ye Tuchel. Atok masih belum puas walaupun dah 4 kali jadi pengurus Bayern

Beliau mengumumkan penarikan diri dari menguruskan Bayern Munich selepas itu dan tempat beliau diisi oleh bekas pengurus Barcelona, Pep Guardiola. Guardiola mengemudi Bayern selama 3 musim tetapi gagal membawa pasukan tersebut menjuarai Liga Juara-Juara sepanjang berada di sana.

Musim ini menyaksikan Heynckes berjaya menaikkan kembali semangat dan permainan Bayern Munich yang agak terumbang-ambing pada awal musim. Pasukan tersebut kini selesa berada di persada Bundesliga dengan kelebihan 20 mata di hadapan pencabar terdekat dan berjaya mara ke saingan separuh akhir Piala DFB-Pokal.

Dalam peringkat Eropah pula, mereka sudah berada selangkah untuk layak ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara selepas mencatatkan kemenangan selesa 5-0 ke atas Besiktas dalam perlawanan pertama. Perlawanan timbal balik akan berlangsung di Turki pertengahan minggu ini.

Heynckes sebelum ini pernah dipetik berkata yang beliau berkenan sekiranya Bayern Munich melantik Thomas Tuchel sebagai pengurus pasukan menggantikan posisinya.

Walaubagaimanapun, pengurus berusia 72 tahun ini mungkin telah mengubah pendiriannya minggu ini dan bersedia untuk menguruskan Bayern Munich pada musim hadapan.

"Apa yang boleh saya katakan ketika ini adalah tiada kata putus telah dibuat mengenai perkara tersebut. Ini kerana sehingga saat ini, saya tidak pernah berkata yang saya akan bersara pada hujung musim nanti."

Julian Nagelsmann. Ubi muda Hoffenheim yang bakal dipetik Bayern tidak lama lagi

"Rujukan saya adalah berkenaan perjanjian saya dengan Bayern Munich yang akan tamat hujung musim nanti. Berkenaan temuramah bersama Sport Bild sebelum ini, saya cuma jelaskan penghargaan saya terhadap Thomas Tuchel yang saya sangat kenali."

"Tetapi jika anda melihat keseluruhan temuramah tersebut, saya juga memuji beberapa pengurus yang lain."

Kelab terakhir yang diuruskan Thomas Tuchel adalah Borussia Dortmund sebelum beliau dipecat pada Mei 2017 kerana prestasi kurang memberangsangkan yang ditunjukkan pasukan.

Seorang lagi individu yang menjadi perhatian Bayern Munich untuk mengisi kerusi panas di Allianz Arena adalah pengurus muda Hoffenheim, Julian Nagelsmann.




Paparkan Komen