Hazard Ucap Selamat Tinggal Selepas Bantu Chelsea Julang Trofi Europa League

Izuddin oleh Izuddin 1 bulan yang lalu

Pemain antarabangsa Belgium, Eden Hazard memberi gambaran jelas bahawa perlawanan akhir Europa League bakal menjadi penampilan terakhirnya dalam baju Chelsea.

Hazard mempamerkan persembahan cemerlang ketika Chelsea menumpaskan Arsenal 4-1 untuk menjulang trofi Europa League buat kali ke-2, sekaligus menafikan tempat Arsenal dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

Hazard akui masanya sudah tiba untuk beliau mencuba sesuatu yang baru

Hazard kini memasuki tahun terakhir dalam kontraknya bersama Chelsea dan dijangka bakal menyertai Real Madrid dalam masa terdekat.

Walau bagaimanapun, menurut sumber Sky Sports News, jumlah yang diminta Chelsea adalah terlalu tinggi iaitu sekitar £130 juta, manakala Real Madrid hanya bersedia membayar maksimum £88 juta bagi pemain yang kontraknya berbaki 12 bulan sahaja lagi.

Sebaik sahaja tamat perlawanan akhir semalam, Hazard telah ditemu ramah BT Sports dan beliau diminta untuk mengulas masa depannya di Stamford Bridge.

"Saya hanya berfikir tentang peminat, pemain-pemain, pengurus, staff-staff kerana ini adalah trofi yang hebat untuk dimenangi."

"Mengenai masa depan, saya masih belum tahu lagi. Saya rasa perkara ini akan diselesaikan dalam masa beberapa hari yang akan datang. Sasaran saya hari ini adalah untuk memenangi trofi, itu sahaja. Itu sahaja perkara yang bermain dalam minda saya."

Sarri hormat dengan setiap keputusan yang bakal diambil Hazard mengenai masa depannya

"Saya sudah membuat keputusan. Saya beritahu perkara yang sama 2 minggu yang lalu. Sekarang segalanya bergantung kepada kelab. Kedua-dua buah kelab. Saya hanya menunggu. Kita akan lihat. Kita akan mengetahui lanjut lanjut dalam masa beberapa hari lagi."

"Saya rasa ini adalah salam perpisahan. Tetapi dalam bola sepak, anda tidak pernah tahu. Impian saya adalah untuk bermain dalam Liga Perdana Inggeris dan saya berjaya melakukannya selama 7 tahun bersama salah sebuah kelab terbesar di dunia. Mungkin sekarang sudah tiba masanya untuk mencuba perkara yang baru."

Ketua Jurulatih Chelsea, Maurizio Sarri turut memuji personaliti yang dimiliki Hazard sambil berkata beliau sudah lama meramal Hazard akan meninggalkan Chelsea.

"Seperti anda semua tahu, Hazard adalah pemain yang hebat tetapi anda perlu menghabiskan masa selama 2 hingga 3 bulan untuk memahaminya sebagai seorang pemain. Apabila anda berjaya memahami beliau, Hazard adalah pemain yang menakjubkan."

"Saya sudah tahu Hazard akan meninggalkan Chelsea, tetapi seperti yang saya selalu beritahu dalam sidang media sebelum ini, saya akan menghormati keputusan yang diambil beliau. Sekarang saya ingin bercakap dengan pihak kelab."

Dalam aksi final Europa League awal pagi tadi, perlawanan yang dikhabarkan bakal berlangsung dengan sengit berakhir dengan Chelsea mudah membelasah Arsenal yang lemah lagi lembik.

Chelsea menggunakan tempoh rehat separuh masa pertama dengan sebaik mungkin apabila berjaya menjaringkan 4 gol pada separuh masa kedua. Manakala Alex Iwobi berjaya memberikan gol saguhati kepada pasukan meriam, tetapi itu hanya lah harapan palsu semata-mata.




Paparkan Komen