Eden Hazard Hanya Akan Tandatangan Kontrak Baru Dengan Satu Syarat

Izuddin oleh Izuddin 5 bulan yang lalu

Pemain tengah Chelsea, Eden Hazard telah memberikan harapan kepada peminat Chelsea yang beliau akan menurunkan tandatangannya untuk kontrak baru tetapi dengan satu syarat.

Syarat yang ditetapkan oleh Hazard adalah beliau hanya akan menandatangani kontrak baru jika Thibout Courtois melanjutkan kontraknya terlebih dahulu.

Adakah Hazard memberi harapan palsu kepada peminat Chelsea ?

Hazard telah dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid kebelakangan ini dan berita ini terus dihangatkan dengan komen ayah Hazard yang berkata anaknya enggan melanjutkan kontrak di Stamford Bridge kerana menunggu tawaran dari Los Blancos.

Terdapat laporan dari Sepanyol mengatakan Hazard telah bersetuju untuk menyertai Real Madrid musim hadapan. Hazard dianggap pemain yang sesuai untuk menggantikan tempat Gareth Bale yang selalu tercedera dan sesuai dengan polisi Madrid yang mahu mendapatkan pemain berprofil tinggi musim panas depan.

Hazard dilihat hadir bersama rakan-rakan Chelsea beliau dalam perlawanan NBA yang diadakan khas di London semalam. Ketika ditemuramah The Mirror, beliau memberikan petunjuk yang dirinya bersedia menandatangani kontrak baru dan meredakan seketika spekulasi yang mengaitkan beliau dengan perpindahan ke Real Madrid.

Antara pemain Chelsea yang hadir menyaksikan perlawanan NBA di antara Boston Celtics dan Philadelphia 76ers

"Ya, saya akan menandatangani kontrak baru jika Courtois melanjutkan kontraknya terlebih dahulu."

Chelsea kini berada di kedudukan ke-3 Liga Perdana Inggeris, 16 mata ditinggalkan pendahulu liga, Manchester City dan hanya satu mata memisahkan mereka dengan penghuni tempat ke-2, Manchester United.

Hazard masih mempunyai baki 2 tahun dalam kontraknya bersama Chelsea, manakala Courtois pula hanya tinggal setahun sahaja. Kedua-dua pemain ini telah dikaitkan dengan perpindahan ke Sepanyol musim hadapan, dengan penjaga gol utama Belgium ini sendiri memberikan petunjuk mahu menyertai Real Madrid Disember lalu.

Bromance

Courtois dalam satu rancangan televisyen di Belgium telah ditanya mengenai minat Real Madrid terhadap beliau dan ini jawapan beliau:

"Ia bukan mudah tetapi saya sudah dapat menjangka perkara ini akan berlaku. Saya tahu bekas teman wanita saya akan kembali ke Madrid, dan perkara ini akan memberi kesan kepada masa depan saya. Saya sangat sayangkan anak saya."

"Apabila saya merindui mereka, kadangkala saya berfikir, 'patutkah saya bermain di Sepanyol untuk beberapa tahun yang akan datang?' Sebab itulah saya masih lagi mengambil masa sebelum menandantangani kontrak baru bersama Chelsea."




Paparkan Komen