Diego Costa Terima Penggantungan 8 Perlawanan Akibat Menghina Pengadil

Izuddin oleh Izuddin 1 minggu yang lalu

Penyerang Atletico Madrid, Diego Costa tidak akan bermain lagi untuk pasukannya dalam La Liga musim ini selepas beliau dijatuhkan hukuman penggantungan 8 perlawanan berikutan tindakannya ketika perlawanan menentang Barcelona tempoh hari.

Costa perlu menjalani penggantungan 8 perlawanan di samping perlu membayar sejumlah denda atas kesalahannya menghina dan memegang pengadil, Jesus Gil Manzano ketika Atletico Madrid tewas 2-0 kepada Barcelona minggu lalu.

Tindakan Costa memegang tangan pengadil mengundang padah. Beliau menerima 4 penggantungan perlawanan atas kesalahan itu sahaja

Costa diarahkan untuk membayar €6,010 kepada pihak La Liga dan €2,800 kepada kelabnya sendiri, Atletico Madrid.

Dalam aksi La Liga di antara dua pasukan teratas, Atletico Madrid memerlukan kemenangan untuk mencerahkan peluang mereka mengejar Barcelona dalam perebutan kejuaraan La Liga musim ini.

Walau bagaimanapun, situasi menjadi sukar buat anak buah Simeone apabila bekas penyerang Chelsea, Diego Costa dilayangkan kad merah pada minit ke-28 kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil.

Walaupun bermain 10 orang untuk satu tempoh yang lama, Atletico Madrid bertahan dengan sangat baik dan ia menyukarkan Barcelona untuk mencari gol.

'I shit on your whore mother' - Perkataan yang keluar dari mulut Costa kepada pengadil

Kekentalan bahagian pertahanan Atletico Madrid akhirnya terkubur apabila Luis Suarez berjaya menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-85. Beliau merembat kencang dari sebelah kiri kotak penalti untuk menewaskan Jan Oblak.

Selang seminit kemudian, giliran penyerang prolifik Barcelona, Lionel Messi untuk menghukum Atletico Madrid. Kali ini Messi mudah menolak masuk bola ke dalam gawang Atletico Madrid selepas memperdayakan beberapa orang pemain.

Tetapi insiden yang menjadi penentu perlawanan sudah tentu adalah layangan kad merah terhadap Diego Costa pada minit ke-28. Costa didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil bertugas, Jesus Gil Manzano.

Dalam laporan perlawanan yang dikeluarkan oleh Manzano, beliau mendakwa Costa menyebut 'Aku berak dekat mak ko yang jalang' kepadanya.

Costa turut memegang kedua-dua bahu Manzano ketika cuba mendapatkan penjelasan daripada pengadil ketika kejadian.

Persekutuan Bola Sepak Sepanyol akhirnya menjatuhkan dua hukuman penggantungan perlawanan terhadap Costa atas dua kesalahan yang berbeza. Setiap satu kesalahan mengakibatkan Costa 4 perlawanan dan secara keseluruhannya, beliau perlu menjalani 8 penggantungan perlawanan.

Dengan kempen Atletico Madrid hanya berbaki 7 perlawanan sahaja lagi, musim Costa berakhir lebih awal dari yang sepatutnya. Ia juga merupakan kempen yang ingin dilupakan Costa secepat mungkin memandangkan beliau hanya mampu menjaringkan satu gol pada tahun 2019.

Secara keseluruhan musim ini, beliau hanya bermain dalam 21 perlawanan dan hanya mampu menjaringkan 5 gol sahaja. Hanya 2 daripada gol Costa datang daripada La Liga.

Persoalan mengenai masa depan Costa mulai timbul sejak kebelakangan ini berikutan tindakan Simeone yang lebih suka menggunakan Alvaro Morata sebagai penyerang utama pasukan.




Paparkan Komen