Deschamps: Pogba Tidak Mampu Gendong Perancis Berseorangan

Izuddin oleh Izuddin 1 bulan yang lalu

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps memberi amaran kepada pemain-pemainnya yang mereka tidak boleh terlalu mengharap pada bakat yang ada pada Paul Pogba jika Perancis mahu mara sejauh yang mungkin dalam Piala Dunia nanti.

Pemain tengah Manchester United itu dilihat sebagai komponen penting dalam skuad Perancis yang dibarisi ramai bintang ternama.

Walau bagaimanapun, Deschamps mengakui pemain sehebat Pogba juga memerlukan bantuan dan tidak boleh melakukannya berseorangan.

Pogba bukan superman !

Pogba mengharungi musim yang agak sukar bersama Manchester United musim lepas dimana beliau beberapa kali dipinggirkan dari berada dalam kesebelasan utama untuk perlawanan penting.

Pihak media turut melaporkan hubungan di antara Pogba dan Jose Mourinho telah retak dan pengurus berasal dari Portugal itu bersedia untuk melepaskan Pogba jika pemain tersebut mahu berpindah.

Pogba juga diboo ketika beraksi untuk Perancis dalam perlawanan persahabatan kerana menampilkan persembahan yang sederhana sahaja.

Prestasi Pogba jelas berbeza dengan persembahan beliau ketika Euro 2016 yang mana Pogba memainkan peranan penting dalam membawa Perancis mara sehingga ke pentas final.

Pogba gagal untuk mengekalkan tahap permainan yang tinggi sejak beliau meninggalkan Juventus untuk menyertai Manchester United dua tahun lepas.

Selain Pogba, Griezmann juga dianggap pemain harapan Les Blues

Perancis mempunyai misi besar untuk dicapai di Russia nanti iaitu menamatkan penantian selama 20 tahun sejak Zinedine Zidane mengetuai skuad Perancis memenangi kejohanan tersebut di gelanggang sendiri pada tahun 1998.

Deschamps menzahirkan rasa yakinnya yang Pogba akan menyerlah dalam edisi Piala Dunia kali ini tetapi Pogba juga memiliki limit dan perlu dibantu.

"Paul Pogba mampu melakukan semua perkara tetapi beliau tidak boleh melakukan semua perkara tersebut secara berseorangan." Ujar Deschamps dalam satu sidang media kelmarin.

"Memang betul persembahan beliau ketika menentang Itali tidak begitu baik tetapi saya telah bercakap dengan Pogba mengenai perkara tersebut. Tiada sebarang masalah."

Dalam aksi pemanas badan terakhir Perancis sebelum berangkat ke Russia, mereka hanya mampu sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Amerika Syarikat di hadapan penyokong sendiri.

Pemain muda Stuttgart, Julian Green mengejutkan tuan rumah dengan menjaringkan gol pembukaan pada lewat separuh masa pertama.

Perancis melancarkan serangan bertalu-talu bagi mencari gol penyamaan dan ia hadir pada lewat permainan menerusi penyerang muda Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe.

Jap kasi aku jampi bola ni dulu

Ketika ditemu ramah sebelum perlawanan tersebut, Deschamps memberi gambaran kesebelasan utama Perancis yang bermain menentang Amerika Syarikat akan diturunkan bermain menentang Australia dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia minggu depan.

"Komposisi pemain yang diturunkan menentang USA mungkin sama dengan pasukan yang akan saya turunkan dalam perlawanan pembukaan, tetapi ia boleh juga berubah."

"Semua pemain harus bersaing merebut tempat dalam pasukan. Agak sukar untuk saya memilih pemain untuk menganggotai skuad Perancis dan perkara yang sama berlaku ketika memilih 11 orang pemain yang akan beraksi."




Paparkan Komen