Conte Tiada Rancangan Tinggalkan Chelsea

Izuddin oleh Izuddin 8 bulan yang lalu

Masa depan Antonio Conte selaku pengurus Chelsea sering menjadi perdebatan umum selepas pasukannya sekadar menduduki tangga ke-3 Liga Perdana Inggeris musim ini, di belakang Manchester City dan Manchester United.

Walaupun sedar pelbagai spekulasi mengenai masa depannya di Stamford Bridge, Conte menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang perancangan untuk meninggalkan Chelsea dalam masa terdekat ini.

Pantang mundur kecuali operasi

Conte berjaya membimbing Chelsea menjuarai Liga Perdana Inggeris musim lepas dalam musim pertama beliau di England. Conte sering ditanya mengenai soalan mengenai masa depannya dengan spekulasi kuat mengatakan beliau bakal meletakkan jawatan sebelum kontraknya berakhir.

Awal bulan ini, Conte pernah menyuarakan kekecewaan beliau berkenaan polisi perpindahan Chelsea kerana jarang sekali memperolehi pemain yang dikehendakinya.

Apabila ditanya mengenai spekulasi yang mengaitkan Massimiliano Allegri dan Luis Enrique untuk menggantikan tempat beliau di Chelsea, beliau dipetik berkata:

"Segalanya boleh berlaku."

Walaupun demikian, Conte memberitahu dirinya masih lagi gembira dengan tugas yang diberikan dan menambah beliau tidak akan sekali-kali meletakkan jawatan sebagai pengurus Chelsea.

"Saya komited dengan Chelsea. Saya amat gembira dengan apa yang saya lakukan sekarang dan masa lepas. Tetapi saya lebih gembira dengan kerja sekarang."

Pengganti Conte di Juventus kini dikaitkan untuk menggantikan Conte di Chelsea. Malang betul Conte

Komen terbaru Conte ini muncul selepas beliau dipetik berkata Jumaat lalu dalam sidang media sebelum perlawanan yang mana Conte tidak menolak untuk keluar dari Chelsea lebih awal.

"Segalanya boleh terjadi. Saya mempunyai setahun lagi kontrak bersama Chelsea. Seperti anda semua tahu, segalanya boleh berlaku dalam bolasepak."

"Waktu ini anda berada disini, dan tidak lama selepas itu anda berada di tempat lain kerana terdapat seseorang telah menggantikan posisi kamu. Inilah bolasepak. Kerja kami sebagai pengurus amat sukar kerana segalanya mampu berubah sekelip mata."

Chelse kini berada di kedudukan ke-3 Liga Perdana Inggeris, 16 mata ditinggalkan pendahulu liga, Manchester City. Mereka hanya dipisahkan 1 mata dengan penghuni tangga ke-2 iaitu Manchester United.

The Blues bakal menyambung aksi Liga Perdana Inggeris dengan melayan kunjungan Leicester City di Stamford Bridge Sabtu ini dalam misi memintas kedudukan United dan merapatkan jurang dengan City.




Paparkan Komen