Conte Tegaskan Beliau Tidak Benci Sesiapa Selepas Pertelingkahan Dengan Mourinho

Izuddin oleh Izuddin 8 bulan yang lalu

Pengurus Chelsea, Antonio Conte berkata beliau tidak menyimpan sebarang perasaan benci terhadap pengurus pasukan lain walaupun terlibat dalam perang mulut dengan Jose Mourinho beberapa minggu ini.

Conte dan Mourinho saling berbalas kenyataan dengan kemuncaknya adalah Mourinho mengungkit kembali kisah lama bekas pengurus Juventus ini yang pernah digantung kerana skandal mengatur perlawanan. Conte juga mengkritik Arsene Wenger selepas pengurus berasal dari Perancis ini mengeluarkan komen tidak baik terhadap Eden Hazard berhubung insiden penalti minggu lepas.

Tiada dendan di antara aku, Wenger dan Mourinho

Wenger berkata Hazard telah berlakon dengan baik untuk memenangi penalti ketika kedua-dua pasukan berkongsi mata di Emirates minggu lalu, yang mana menimbulkan rasa tidak puas hati Conte yang kembali dengan kenyataan Arsenal bernasib baik dengan beberapa keputusan pengadil pada perlawanan tersebut.

Walaubagaimanapun, Conte menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang permusuhan dengan Wenger tetapi enggan berganjak mengenai pendiriannya terhadap Mourinho. Apabila ditanya adakah beliau menyimpan perasaan benci terhadap Mourinho, beliau dipetik berkata:

"Itu tidak benar. Saya tidak benci sesiapa. Mengenai isu penalti Eden Hazard, saya membuat komen terhadap Wenger kerana beliau bercakap mengenai pemain saya. Kalau tidak, saya hormat dengan apa yang diperkatakan setiap jurulatih."

"Setiap jurulatih mempunyai pendapat mereka sendiri dan saya perlu hormat dengan pendapat mereka, jika ianya tidak menyakiti hati sesiapa."

Conte mahu menentang pasukan Arsenal yang dibarisi Sanchez

Conte turut memberikan pendapatnya terhadap masa depan Alexis Sanchez di Arsenal. Sebelum ini, beliau pernah mengeluarkan kenyataan dengan menggelar Sanchez sebagai salah seorang pemain terbaik dunia dalam posisinya.

Sumber melaporkan Manchester City semakin hampir untuk mendapatkan khidmat Sanchez dengan kedua-dua kelab telah bersetuju ianya bakal berlaku bulan ini. Walaupun demikian, Conte percaya Sanchez akan terus kekal bersama Arsenal sehingga tamat musim ini.

"Saya mahu berhadapan dengan pasukan terkuat yang dimiliki Arsenal. Saya tidak tahu sama ada Sanchez akan berpindah ke Manchester City atau tidak. Tetapi sudah tentu kita sedang bercakap mengenai pemain yang sangat penting dan juga pemain yang sangat bagus."

"Jika situasi ini berlaku, saya berpendapat Sanchez akan menamatkan musim ini dengan Arsenal. Itulah pendapat saya. Selain itu, saya tidak tahu."

Hala Madrid

Apabila ditanya pemberita adakah situasi Arsenal kehilangan Sanchez akan turut berlaku terhadap Chelsea dan Hazard, Conte berkata pemain berusia 26 tahun ini gembira untuk terus kekal di Stamford Bridge. Ini berikutan terdapat laporan Hazard enggan menandatangani kontrak kerana mahu berpindah ke Real Madrid.

"Saya boleh bercakap mengenai pemain saya dan seperti anda semua tahu, Hazard adalah pemain yang sangat penting buat kami. Hazard sangat gembira untuk terus bekerja di sini. Kerana kami mahu memberi kepuasan kepada peminat Chelsea di luar sana. Dan sudah tentu Hazard adalah pemain yang sangat penting buat Chelsea."




Paparkan Komen