Conte Bakal Dedahkan Masa Depannya Bersama Chelsea Sebaik Sahaja Musim Berakhir

Izuddin oleh Izuddin 2 minggu yang lalu

Ketua jurulatih Chelsea, Antonio Conte berkata keputusan sama ada beliau kekal di Stamford Bridge atau tidak musim hadapan akan diumumkan sebaik sahaja musim ini berakhir, iaitu kurang dari 2 minggu sahaja lagi.

The Blues akan mengakhiri kempen 2017/2018 pada 19 Mei di Wembley Stadium yang mana perlawanan terakhir mereka adalah final Piala FA menentang Manchester United.

Masa depan Conte masih lagi menjadi tanda tanya

Ini bermakna besar kemungkinan perlawanan terakhir Conte sebagai ketua jurulatih Chelsea adalah bertemu Jose Mourinho, pengurus yang tidak 'berlaga angin' dengan beliau.

Masa depan Conte di Stamford Bridge sering menjadi tajuk perbualan kebelakangan ini dengan Chelsea mengharungi musim yang mengecewakan di peringkat domestik dan Eropah. Terdapat juga laporan yang mendakwa bekas jurulatih Itali dan Juventus ini tidak gembira dengan polisi perpindahan yang diamalkan kelab tersebut.

Conte sering mengelak untuk menjawab soalan mengenai masa depannya tetapi dalam sidang media menjelang pertemuan terakhir di Stamford Bridge musim ini menentang Huddersfield awal pagi esok, beliau memilih untuk menjawabnya.

"Saya sangat fokus dengan tugas saya di Chelsea, untuk melakukan yang terbaik buat pemain dan para peminat. Saya sedar kerja ini bukanlah kerja yang senang, tetapi saya masih tetap fokus dengan tugasan yang diberikan kepada saya."

Perlawanan terakhir Conte musim ini adalah menentang Jose Mourinho. Mungkin juga perlawanan terakhirnya sebagai pengurus Chelsea sekiranya tewas dalam final Piala FA

"Masih lagi ada dua minggu untuk diharungi musim ini dan selepas itu anda akan dapat mengetahui lebih lanjut mengenai masa depan saya di kelab ini. Saya berharap jika anda melihat saya masih lagi berada di sini musim hadapan, anda tidak membuat spekulasi mengenai masa depan saya pada perlawanan pertama."

Chelsea turun menghadapi Huddersfield dalam perlawanan ke-37 Liga Perdana Inggeris dengan harapan untuk memburu kedudukan empat teratas liga, sekaligus melayakkan diri bermain di Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

Walaubagaimanapun, Chelsea perlu memenangi baki dua perlawanan mereka dan berharap Spurs atau Liverpool gagal memenangi perlawanan mereka.

Conte berkata beliau tidak gembira dengan situasi pasukannya musim ini kerana mereka sering melepaskan mata dengan 'cara yang bodoh'.

Memori cinta luka

"Sekarang bukan masa untuk menyesali perbuatan kami dahulu. Kami masih mempunyai baki dua perlawanan untuk diharungi iaitu menentang Huddersfield dan Newcastle. Dan selepas itu final Piala FA."

"Tempat ke-4 Liga Perdana Inggeris bukan berada di dalam tangan kami. Satu-satunya perkara yang kami mampu lakukan sekarang adalah terus memberi tekanan kepada Spurs dan Liverpool, iaitu dengan memenangi perlawanan kami."

Conte berjaya membimbing Chelsea menjuarai Liga Perdana Inggeris dalam musim pertamanya di England tetapi gagal menyaingi kehebatan skuad Pep Guardiola musim ini, selain tersingkir di tangan Barcelona dalam pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah.




Paparkan Komen