Bellamy: Ramsey Bakal Tinggalkan Arsenal

Izuddin oleh Izuddin 1 minggu yang lalu

Bekas pemain antarabangsa Wales, Craig Bellamy berkata Aaron Ramsey sudah membuat keputusan mengenai masa depannya dan kelab tersebut bukanlah Arsenal.

Bellamy turut mendakwa Ramsey akan berpindah secara percuma ke sebuah kelab ternama pada  musim hadapan.

Bellamy percaya masa depan Ramsey bukan lagi bersama Arsenal

Ramsey masih lagi belum menandatangani kontrak baru untuk melanjutkan kontrak beliau sekarang yang akan tamat pada penghujung musim ini. Arsenal berdepan risiko kehilangan khidmat Ramsey secara percuma dan masuk Januari nanti, pemain tersebut boleh berbincang dengan mana-mana kelab di luar England.

Dalam perlawanan terakhir Arsenal menentang Fulham hujung minggu lalu, Ramsey masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua dan hanya memerlukan kurang daripada seminit untuk menjaringkan gol ke-3 Arsenal dalam perlawanan tersebut.

Gol tersebut merupakan aksi berpasukan pada tahap tertinggi dan dianggap calon utama untuk memenangi anugerah gol terbaik musim ini. Beberapa pemain berganding bahu dalam satu counter-attack pantas untuk menghukum Fulham dan gerakan tersebut disudahkan Ramsey dengan satu 'back-flick' yang sangat memukau.

Ramsey dilaporkan mahu gaji mingguan yang tinggi, hampir sama dengan apa yang Ozil terima.

Menurut laporan terkini daripada Sky Sports, perbincangan kontrak baru antara pihak Ramsey dan Arsenal kini terhenti buat sementara waktu kerana permintaan Ramsey tidak dapat dipenuhi Arsenal.

Pada usia 27 tahun, Ramsey sedar kontrak yang akan beliau tandatagani selepas ini bakal menentukan perjalanan kariernya untuk 5 tahun yang akan datang. Ia juga merupakan kontrak 'termahal' yang akan beliau terima sepanjang kariernya.

Menurut laporan dari beberapa sumber, Ramsey mahu gaji mingguan yang hampir sama dengan apa yang diterima Mesut Ozil sekarang, iaitu sekitar £350,000 seminggu. Arsenal enggan melayan permintaan Ramsey dan perbincangan mengenai lanjutan kontrak terhenti buat sementara.

Bellamy yang pernah bermain bersama Ramsey dalam pasukan Great Britain di Sukan Olimpik London 2012, berkata bekas pemain Cardiff itu mahu cabaran baru dan sudah membuat keputusan untuk meninggalkan Arsenal.

"Saya rasa Arsenal sudah kehilangan Ramsey. Saya yakin Ramsey akan meninggalkan kelab tersebut."

Ramsey menjaringkan 'goal of the season' ketika menentang Fulham beberapa hari lalu.

"Masuk Januari atau musim panas nanti, Ramsey akan bermain di tempat lain. 4 atau 5 tahun lepas, semua kelab mahu mendapatkan Ramsey - Manchester City, Barcelona."

"Saya rasa sekarang adalah masa yang tepat untuk Ramsey berpindah. Saya rasa beliau sudah sedar berada di Arsenal terlalu lama telah menyebabkan potensi sebenar yang ada dalam dirinya tidak mampu diserlahkan. Ramsey merupakan seorang pemain bola sepak yang hebat tetapi beliau pernah mengalami beberapa kecederaan yang serius."

"Unai Emery merupakan pengurus yang bagus buat Ramsey tetapi saya rasa Ramsey mahukan perubahan. Beliau mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk menyertai kelab ternama Eropah sekiranya beliau boleh didapati dengan percuma."




Paparkan Komen