Bekas Pengurus England Percaya Liverpool Pasukan Pilihan Untuk Menangi Liga Juara-Juara

Izuddin oleh Izuddin 5 bulan yang lalu

Bekas pemain dan pengurus England, Stuart Pearce percaya Liverpool adalah pasukan pilihan untuk memenangi Liga Juara-Juara musim ini selepas mereka menyingkirkan Manchester City dari kejohanan tersebut.

Pasukan kendalian Jurgen Klopp itu melangkah ke pusingan separuh akhir dengan penuh bergaya apabila menumpaskan Manchester City di tempat sendiri dan juga di tempat lawan dengan aggregat 5-1.

Liverpool Power bakal juara Liga Juara-Juara 2017/2018

Dalam perlawanan timbal balik yang berlangsung awal pagi Rabu lalu, Liverpool berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 di Stadium Etihad hasil jaringan Mohamed Salah dan Roberto Firmino.

Tuah seperti memihak Liverpool apabila diundi bertemu pasukan dari Itali, AS Roma di pusingan separuh akhir dan berjaya mengelak dari berjumpa pasukan gergasi, Real Madrid dan Bayern Munich. Dua pasukan tersebut bakal bertarung sesama mereka dalam satu lagi perlawanan separuh akhir bagi merebut slot ke perlawanan akhir.

Pearce yang pernah bermain bersama Manchester City dan juga menguruskan pasukan tersebut suatu ketika dahulu percaya Liverpool adalah pasukan paling menonjol dalam semua pasukan yang berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir.

Stuart Pearce yakin Liverpool calon pilihan julang trofi UCL musim ini, bukan Real Madrid atau Manchester United.

"Dengan menewaskan Manchester City, ia telah menaikkan keyakinan semua pihak dalam kelab bolasepak Liverpool yang mana sekarang mereka pasti berfikir yang mereka mampu menjulang trofi tersebut tahun ini."

"Sebelum dua perlawanan bertemu Manchester City, Liverpool tentu berfikir undian yang diterima mereka tidak begitu baik. Kalau boleh anda tidak mahu bertemua pasukan dari negara yang sama, ditambah pula dengan prestasi semasa City. Akan tetapi, mereka mengejutkan semua pihak dengan menewaskan City sebanyak dua kali."

"Liverpool bukan sahaja mara ke pusingan seterusnya, tetapi mereka telah menewaskan pasukan sehebat Manchester City dalam dua perlawanan. Sudah tentu kemenangan ini telah menaikkan semangat mereka."

"Tambahan pula, apabila anda melihat sekitar Eropah dan anda melihat pasukan yang layak ke separuh akhir melepaskan banyak gol kebelakangan ini, Liverpool pula pasukan yang banyak menjaringkan gol."

"Pada pendapat saya, dari semua pasukan yang layak ke pusingan separuh akhir, Liverpool adalah pasukan yang paling menyerlah. Secara peribadi, saya meletakkan mereka sebagai calon pilihan untuk memenangi Liga Juara-Juara berdasarkan apa yang telah saya saksikan dan juga kualiti pasukan lawan yang ditentang mereka sebelum ini."

Corak permainan Liverpool lebih sesuai bermain perlawanan timbal balik di tempat lawan

Pearce turut percaya Liverpool tidak perlu gentar untuk bertemu mana-mana pasukan yang masih tinggal dalam kejohanan ini kerana mereka sesuai beraksi di gelanggang sendiri dalam perlawanan pertama berdasarkan corak permainan mereka.

"Apa yang mampu membantu Liverpool mara ke final adalah diundi bermain di tempat sendiri dalam perlawanan pertama."

"Biasanya anda mahu bermain di tempat sendiri dalam perlawanan timbal balik dan menewaskan pasukan lawan di depan penyokong sendiri."

"Akan tetapi berdasarkan corak permainan Liverpool dan bagaimana mereka melakukan counter-attack, mereka tentu gembira diundi bermain di tempat sendiri terlebih dahulu. Ini kerana pasukan seperti Liverpool sudah tentu akan menjaringkan gol di tempat lawan."




Paparkan Komen