Bale Bakal Ke Jiangsu Suning Dengan Gaji RM5.1 Juta Seminggu?

Encik Bakri oleh Encik Bakri 1 bulan yang lalu

Pemain kebangsaan dan kebanggaan Wales, Gareth Bale telah menyertai Real Madrid pada tahun 2013 dengan rekod perpindahan dunia sebanyak £85 juta dari kelab Premier League yang berpengkalan di London, Tottenham Hotspurs.

Sepanjang kariernya Bale sentiasa dibelenggu irama kecederaan dan isu ini dibawa bersama semasa perpindahan ke Real Madrid. Untuk rekod Bale hanya bermain sebanyak 57 peratus sahaja dari 16,396 minit permainan.

Namun impak yang diberi oleh Bale sangat besar dengan menjaringkan gol penting lagi padu yang membawa kepada kejuaraan Real Madrid, lantaran itu beliau masih memberi faedah walaupun sering tercedera.

Bale memenangi 4 gelaran Champions League di mana beliau menjaringkan gol kemenangan menentang Atletico Madrid pda 2014 dan menjaringkan dua gol ketika final menentang Liverpool.

Bersama Real Madrid Bale telah meraih 9 trofi utama termasuklah La Liga. Bale telah menjaringkan 102 gol dalam 231 penampilan sepanjang 6 musim bersama Los Blancos.

Masa depan Bale bersama Real Madrid kembali gelap selepas kembalinya Zinedine Zidane mengemudi Los Blancos dan Zidane secara terbuka membuat kenyataan bahawa Bale tidak lagi diperlukan dan untuk dijual.

Dengan rekod kecederaan dan gaji setinggi gunung, Bale menerima £600,000 seminggu di Sepanyol menyaksikan banyak kelab yang berminat tidak mampu memenuhi pendapatan yang diperoleh Bale saban minggu itu.

Di usia 30 tahun, mustahil untuk Bale kembali ke Premier League atau liga Eropah yang lain walaupun Bale masih mampu memberi sesuatu yang luar biasa dan tiada masalah untuk beraksi di peringkat tertinggi.

Satu-satunya liga yang mampu memenuhi gaji Bale yang tinggi dan tidak masuk akal adalah Liga Super China dan Bale dikaitkan dengan kelab Jiangsu Suning yang dilaporkan rela membayar £1 juta seminggu atau bersamaan RM5.1 juta serta diikat dengan kontrak 3 tahun.

Jika perpindahan ini menjadi kenyataan, rekod baru akan tercipta di China sebagai perpindahan paling besar dalam sejarah Liga Super China.

Bale akan beraksi bersama Alex Texeira, Eder, Miranda dan Paletta jika perjanjian bersama Jiangsu Suning ini dimuktamadkan.

Satu video tersebar bahawa Bale telah sampai ke China untuk menyelesaikan perpindahan ini.




Paparkan Komen